Vivo S10 Dan S10 Pro Dilancarkan – Cip Mediatek Dimensity 1100, Tri-Kamera Utama

Diterbitkan pada July 15, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Seperti yang dijanjikan, siri Vivo S10 kini dilancarkan secara rasmi dalam sebuah acara pelancaran yang berlangsung di China, sebentar tadi. Terdapat dua model yang diperkenalkan iaitu Vivo S10 dan Vivo S10 Pro. Seperti beberapa generasi sebelumnya, Vivo meneruskan tradisi siri ini yang memfokuskan kepada keupayaan kamera lebih baik.

Kedua-dua telefon pintar ini mempunyai rekaan fizikal dan sejumlah spesifikasi utama yang sama. Bezanya hanya terletak pada sokongan untuk memori, storan dalaman dan sensor utamanya. Di China, Vivo S10 dijual pada RMB2,999 (~RM1,949). Manakala, Vivo S10 Pro pula berharga RMB3399 (~2,209). Terdapat empat pilihan warna yang tersedia seperti biru, hijau, putih dan hitam.

Vivo S10

Untuk spesifikasi khusus, Vivo S10 mempunyai skrin berukuran 6.44-inci AMOLED dengan resolusi FHD+. Ia kemudiannya dipadankan dengan cip MediaTek Dimensity 1100, memori 8GB RAM (LPDDR4X) dengan tambahan 4GB RAM, storan dalaman 128GB (UFS 3.1) dan bateri 4,050mAh dengan pengecasan 44W.

Tetapan kamera utama terdiri dengan 64-Megapixel (utama) + 8-Megapixel (Ultra-lebar) + 2-Megapixel (makro). Kamera hadapan pula adalah sebesar 44-Megapixel (utama) + 8-Megapixel (Ultra-lebar). Lain-lain spesifikasi termasuklah – port sambungan USB-C, pengimbas cap jari pada paparan, OriginOS 1.0 berasaskan Android 11.0, Bluetooth 5.2 dan banyak lagi.

Vivo S10 Pro

Bercakap mengenai Vivo S10 Pro, ia juga dilengkapi skrin 6.44-inci AMOLED FHD+, dijana oleh cip MediaTek Dimensity 1100, bateri 4,045mAh dengan pengecasan 44W. Ia kemudiannya membawakan sokongan memori 12GB RAM dengan tambahan 4GB RAM dan storan dalaman 256GB.

Turut melengkapinya adalah sistem tri-kamera di belakang dengan sensor utama 108-Megapixel, 8-Megapixel (Ultra-lebar) dan 2-Megapixel untuk tujuan makro. Ia juga mempunyai sokongan dwi-kamera swafoto dengan tetapan 44-Megapixel (utama) + 8-Megapixel (Ultra-lebar). Lain-lain spesifikasi termasuklah – pengimbas cap jari di skrin, OriginOS 1.0 berasaskan Android 11, Bluetooth 5.2 dan sebagainya.

Sumber : Vivo S10, Vivo S10 Pro

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami