Cari @ Amanz

Ulasan Oppo Reno6 Z – Rupa Sama Sukar Nak Beza

Link Copied!

Oppo Reno6 Z dilancarkan sebentar tadi dan ia sebuah lagi peranti kelas pertengahan dengan sokongan 5G yang dilancarkan oleh Oppo tahun ini. Apabila mengambil kira peranti lain di bawah BBK Electronics – Vivo, Realme dan OnePlus – terlalu banyak peranti dengan rekaan yang hampir sama ditawarkan di dalam kelas yang sama di Malaysia

Jadi apakah yang boleh ditulis mengenai Oppo Reno6 Z? Adakah masih berbaloi? Merosakkan pasaran mereka sendiri ataupun masih terdapat beberapa ciri menarik pada telefon pintar ini membuatkan pembeliannya masih berbaloi jika dibandingkan dengan peranti lain seperti A74 5G dan OnePlus Nord N10?

Spesifikasi

Oppo Reno6 Z
Skrin6.4″ AMOLED
FHD+, 60Hz
PemprosesMediaTek Dimensity 800U (7nm)
Cip2 X 2.4 GHz Cortex-A76
6 X 2.0 GHzCortex-A55
Cip GrafikMali-G57 MC3
RAM8GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128GB (Mikro SD 512GB)
Kamera Utama64+8+2 Megapixel f/1.7+f/2.2+f/2.4
Kamera Swafoto32 Megapixel f/2.4
Bateri4220 mAh
Pengecasan berwayar 30W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCTiada
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 1699

Skrin

Mari bercakap mengenai skrin kerana ini perbezaan pertama di antara Reno6 Z dan A74 5G. Skrin kali ini berteknologi AMOLED tetapi tidak pula menyokong kadar segar semula tinggi. Ia sekadar menyokong 60Hz yang kini dianggap kuno walaupun pada sebuah peranti kelas pertengahan Android.

Paparan warna adalah amat baik kerana ia dari keluarga OLED. Hitam lebih gelap dan warna lebih menyerlah. Kerana paparan yang cantik ini kami tidak merindui tiadanya sokongan 90Hz pada peranti ini. Bagi majoriti pengguna paparan yang elok lebih penting berbanding kelancaran.

Ia turut mempunyai pengimbas cap jari terbina di bawah skrin dari jenis optikal. Pada A74 5G pengimbas cap jari diletakkan pada bahagian sisi terbina pada butang kuasa. Ia mungkin sedikit perlahan tetapi dari apa yang dapat kami lihat di Malaysia, pengimbas cap jari bawah skrin lebih digemari kerana ia mesra mereka yang kidal dan kinan. Kami cuma kurang gembira dengan lokasi pengimbas yang terlalu ke bawah menghala ke dagu. Ia sepatutnya tinggi sedikit seperti pada peranti keluaran Samsung.

Skrin juga adalah rata dengan bezel yang agak nipis. Tiada isu ghost touch kami alami sepanjang dua minggu dan perkara negatif yang boleh dikatakan hanyalah saiz bezel yang tidak sekata.

Spesifikasi

Pemproses MediaTek Dimensity 800U dipadankan dengan memori sebesar 8GB dan storan sebesar 128GB. Storan boleh ditambah menggunakan kad mikro SD sekiranya perlu. Bagi yang memerlukan RAM yang lebih besar, Reno6 Z disertakan dengan ciri penambahan RAM secara maya sehingga 5GB. Apabila ciri digunakan, sebahagian storan diambil untuk digunakan sebagai RAM. Ini adalah ciri menarik yang dipopularkan oleh Oppo dan juga disokong oleh syarikat lain di bawah payung BBK Electronics sejak tahun ini.

Dengan cip Dimensity 800U, peranti menyokong rangkaian 5G dan sokongan dua SIM bersaiz nano. Dengan 5G dijangka mula ditawarkan secara komersial di Malaysia tahun hadapan, pengguna sudah bersedia untuk menikmati rangkaian selular yang lebih pantas dalam masa terdekat. Satu ciri yang tidak disokong ialah NFC.

Membekalkan kuasa kepada peranti ialah bateri sebesar 4220 mAh yang menyokong pengecasan berwayar 30W. Tiada sokongan pengecasan nirwayar tetapi mungkin tidak dirindui kerana sistem pengecasan berwayar yang disokong adalah cukup pantas.

Rekaan

Rekaan tubuhnya sama seperti yang digunakan pada A74 5G. Bingkai logam yang dibulatkan dipadankan dengan panel belakang plastik dan juga bonggol kamera berbentuk empat segi. Panel belakang plastik bertekstur kasar bagi mengurangkan isu memerangkap kotoran dengan mudah. Ia turut memberikan permukaan yang lebih mencengkam sekiranya pengguna tidak mahu menggunakan kerangka. Sebuah kerangka plastik lutsinar disertakan dengan setiap pembelian bagi mereka yang ingin selepas pertahanan

Penggunaan kerangka masih kami sarankan kerana bonggol kamera yang digunakan walaupun tidak ekstrem, masih boleh menyebabkan peranti terjungkit dari permukaan meja. Dalam dunia pandemik ini kami faham ramai tidak mahu pergi membahayakan diri ke pusat alat gantian sekiranya peranti mengalami kerosakan sekiranya terjatuh.

Butang kuasa diletakkan pada sisi kanan manakala butang laras suara pada sisi kiri. Kedua-dua butang mempunyai binaan yang teguh dan sedap digunakan. Tiada isu ianya terasa longgar seperti gigi susu kanak-kanak yang menanti digantikan dengan gigi kekal di sini. Kedudukannya juga ergonomik memudahkan akses apabila diperlukan.

Tiada sebarang piawaian kalis air diberikan oleh Oppo pada peranti kelas pertengahan mereka. Ini berterusan pada Reno6 Z. Hanya empat tahun lalu ramai meramalkan kemampuan kalis air akan menjadi standard pada peranti kelas pertengahan. Ramalan tidak menjadi kenyataan kerana hanya Samsung dan Xiaomi menawarkannya pada waktu ini. Maka sekiranya anda rakan penghantar makanan seperti Grab, peranti ini mungkin kurang sesuai untuk digunakan kerana mungkin rosak sekiranya terperangkap dalam hujan ketika menghantar barangan.

Terdapat slot untuk SIM pada sisi kiri yang memerlukan jarum untuk ditolak keluar. Talam SIM menyokong 2 SIM nano dan satu kad mikro SD. Ketiga-tiganya berasingan membolehkan digunakan secara serentak. Ini sebuah lagi misteri Nusantara pada peranti Android. Mengapa ini boleh dilakukan pada peranti kelas pertengahan tetapi tidak pada sebuah peranti mercu.

Satu lagi ciri menarik yang disertakan ialah bicu audio 3.5mm pada bahagian bawah bersama dengan sebuah pembesar suara mono. Tiada sokongan audio stereo di sini dan juga tiada sistem audio Dolby Atmos. Ini sebuah lagi kekurangan yang ada pada Reno6 Z bagi mereka yang mungkin memerlukan kemampuan audio yang lebih baik.

Penggunaan Dan Perisian

Android 11 dipadankan dengan pelancar ColorOS 11.1. Oleh sebab itu ciri yang ditawarkan oleh Reno6 Z adalah sama dengan Oppo A75 5G yang kami ulas hanya beberapa bulan yang lalu. Memori 8GB yang ditawarkan adalah cukup besar untuk sebuah peranti kelas pertengahan. Jika merasakan tidak cukup, pengguna boleh menambah lagi 2/3/5 GB RAM menerusi ciri RAM Expension ColorOS 11.1. Tetapi dalam penggunaan selama tiga minggu kami tidak sekalipun tergerak untuk menggunakan memori tambahan kerana ia lebih dari mencukupi.

Penggunaan terasa lancar dan pantas walaupun skrin sekadar 60Hz. Pelbagai ciri menarik disertakan seperti mod kanak-kanak, mengubah keseluruhan tema peranti, gestur, Oppo Share dan sokongan multi window.

Pengalaman penggunaan peranti mudah alih kelas pertengahan sejak beberapa tahun yang lalu kami rasakan hampir setanding dengan menggunakan sebuah peranti kelas mercu. Perbezaan hanya dapat dirasakan apabila memainkan permua tahap tinggi dan memproses video.

Tetapi Dimensity 800U adalah cip yang masih cukup berkuasa untuk memainkan permua popular seperti PUBG Mobile, COD Mobile dan Asphalt 9. Kesemua dapat kami jalankan dengan lancar pada tetapan sederhana tanpa sebarang isu pemanasan yang melampau. Markah penanda aras yang dicatatkan adalah seperti di bawah. Lebih tinggi berbanding Snapdragon 480 yang digunakan pada Oppo A74 5G yang mempunyai rekaan dan spesifikasi lain yang hampir sama.

Telefoni dan GPS

Terdapat sokongan rangkaian 5G tetapi ini tidak mampu kami uji kerana belum ditawarkan di Malaysia. Panggilan telefon menggunakan rangkaian LTE adalah memuaskan, jelas dan tanpa sebarang masalah. Jika syarikat telekomunikasi anda menyokong VoLTE, Reno6 Z menyokongnya dan panggilan suara yang lebih berkualiti tinggi dapat dilakukan. Tiada isu sukar mendapatkan isyarat LTE yang baik dialami sepanjang tempoh ulasan. Terdapat sokongan dwi-SIM bersaiz nano dengan talam berasingan membolehkan kad mikro SD ditambah.

Prestasi GPS juga pantas. Aplikasi Waze dan Maps apabila digunakan dapat menjejak lokasi kenderaan dalam masa kurang dua saat. Ketika memandu pula tiada isu secara tiba-tiba kehilangan isyarat atau lokasi yang salah ditunjukkan dalam aplikasi. Sebagai sebuah telefon dan peranti navigasi, Reno6 Z berfungsi dengan cemerlang.

Kamera

Hanya sistem tri-kamera digunakan pada bahagian belakang. Lensa utama dengan sensor 64MP, lensa ultra sudut lebar 8MP dan lensa makro 2MP. Tiada sokongan zum optikal nirhilang disertakan tetapi dengan sensor utama yang besar, mengambil gambar zum menerusi teknik cropping boleh dilalukan. Kemampuan melakukan rakaman video pula adalah hanya sehingga 4K 30FPS. Kami hanya sedikit kecewa lensa makro masih sekadar dipadankan dengan sensor 2MP. Tidak pernah lagi setakat ini kami melihat kemampuan fotografi yang memuaskan dapat dinikmati dengan sensor 2MP.

Adalah lebih baik jika dua sensor yang baik diberikan kerana ia mengurangkan kos peranti tanpa menyertakan lensa gajah putih dan kedua memberikan rekaan bonggol yang lebih kecil. Tetapi kami tahu mengapa ia dilakukan. Keperluan pasaran memaksa sistem tri atau kuad kamera digunakan pada peranti moden. Pembeli kini melihat jumlah kamera bukannya kemampuan kamera sejati. Jika ada satu trend yang patut dilupuskan ialah penggunaan multi-sensor tanpa sebab munasabah seperti pada Reno6 Z ini.

Kemampuan kamera sebenarnya adalah amat baik untuk sebuah peranti kelas menengah. Warna kelihatan hidup dan tajam dalam situasi pencahayaan yang baik. Dalam tempat tertutup juga prestasi kamera masih memuaskan cuma sistem HDR tidak sebaik di luar. Zum digital pula masih mampu menghasilkan gambar yang baik sehingga 5X.

Kamera swafoto mungkin 32MP tetapi kami rasakan kualiti gambar yang dihasilkan kurang memuaskan kerana kurang tajam. Aneh sekali sensor 32MP tetapi imej masih kelihatan lembut dengan Secara keseluruhan kemampuan kamera Reno6 adalah baik untuk majoriti situasi harian tanpa perlu bergantung kepada sebarang gimik.

Bateri

Dengan bateri 4310 mAh tiada isu peranti dapat bertahan sepanjang hari pada penggunaan sederhana berat. Dalam penggunaan kami di rumah dengan WiFi terpasang, peranti boleh bertahan sehingga 24 jam dengan SOT mencecah 10 jam. Ini pada hemat kami ialah prestasi bateri yang sederhana untuk peranti kelas pertengahan sekarang.

Bateri boleh dicas semula dalam masa sekitar 60 minit menerusi pengecas 30W yang disertakan dalam kotak. Ini ialah antara sistem pengecasan terpantas di pasaran. Lebih pantas dari yang ditawarkan Apple dan Samsung pada peranti mercu mereka.

Audio

Hanya satu pembesar suara disokong pada Reno6 Z, kekurangan paling ketara terutamanya ketika menonton video dan sesi permua. Adalah sangat canggung memainkan COD Mobile dengan audio hanya pada sebelah kanan. Sukar mendengar pergerakan musuh dari kiri. Ini diselesaikan dengan memakai fon kepala berwayar. Kualiti audio adalah memuaskan apabila fon kepala atau fon telinga digunakan. Bagi pengguna TWS, sokongan AAC dan LDAC diberikan maka tiada isu menstrim audio pada kualiti yang terbaik.

Pesaing

Oppo Reno6 ZOppo A74 5GRealme 7 5G
6.4″ AMOLED, 1080 x 2400, 60Hz (411 ppi)6.5″ IPTS IPS LCD, 1080 x 2400, 90Hz (405 ppi)6.5″ IPS LCD, 1080 x 2400, HDR10+, 120Hz (405 ppi)
Dimensity 800U (7nm)
2 X 2.4 GHz Cortex-A76
6 X 2.0 GHz Cortex-A55
Snapdragon 480 (8nm)
2 X 2.0 GHz Kryo 460 Gold
6 X 1.8 GHz Kryo 460 Silver
Dimensity 800U (7nm)
2 X 2.4 GHz Cortex-A76
6 X 2.0 GHz Cortex-A55
Mali-G57 MC3Adreno 619Mali-G57 MC3
8 GB LPDRR4X6 GB LPDRR4X8 GB LPDDR4X
128 GB
mikro SD 512GB
128 UFS 2.1
mikro SD 512GB
128 GB UFS 2.1
mikro SD 512GB
Kamera Utama
64+8+2 Megapixel (f/1.7+f/2.2+f/2.4)
Kamera Utama
48+8+2+2 Megapixel (f/1.7+f/2.2+f/2.4+f/2.4)
Kamera Utama
48+8+2+2 Megapixel (f/1.8+f/2.3+f/2.4+f/2.4)
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.4
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.0
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.1
Tidak kalis airTidak kalis airKalis Percikan
Bicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mm
Audio MonoAudio MonoAudio Mono
4310mAh (Berwayar 30W)5000mAh (Berwayar 18W)5000 mAh (Berwayar 30W)
Harga RM 1699Harga RM1099Harga RM1299

Kesimpulan

Oppo Reno6 Z, Oppo A74 5G dan Realme 7 5G adalah tiga peranti yang kami bandingkan di atas. Sebab mereka dipilih adalah kerana rekaan serta spesifikasi yang sama tetapi pada harga yang berbeza. Ketiga-tiganya juga adalah syarikat di bawah payung BBK Electronics. Strategi mereka menawarkan peranti serupa tapi tak sama di pasaran sudah lam dilakukan sehingga sedikit mengelirukan.

Dapat dilihat perbezaan hanya pada teknologi skrin, kamera, bateri dan pemproses. Perbezaannya walau bagaimanapun tidaklah begitu besar sehingga ketiga-tiganya sebenarnya hampir setara.

Sebelum mengulas Reno6 Z kami telah mengulas A74 5G. Harus saya katakan dari segi penggunaan, pengalaman dan prestasi hampir tiada beza. Jadi mengapa perlu membayar RM600 lebih untuk Reno6 Z? Jawapannya mungkin terletak pada kamera yang sedikit lebih baik dan pengecasan yang lebih pantas.

Menang pada dua kategori di atas tetapi Reno6 Z kalah pula pada ketahanan bateri dan harga. Dengan perbezaan yang tidaklah begitu besar,kami merasakan sedikit sukar untuk menyarankan Reno6 Z berbanding A74 5G. Ini adalah kerana situasi ekonomi semasa pengguna lebih sensitif dengan tanda harga. Tidak ramai yang sanggup membayar lebih semata-mata untuk skrin AMOLED dan pengecasan lebih pantas.

Oppo Reno6 Z bukanlah peranti yang tidak elok. Malahan ia adalah antara peranti kelas pertengahan yang paling memuaskan pernah saya ulas tahun ini. ColorOS 11 menawarkan pelbagai ciri menarik seperti tambahan RAM maya sehingga 5GB dan amatlah lancar. Kami menyarankan Reno6 Z bagi mereka yang memang memerlukan skrin AMOLED pada peranti dengan kemampuan kamera yang baik dan sistem pengecasan yang pantas sahaja. Untuk nilai lebih baik, A745G adalah pilihan lebih tepat.

Pro

  • Rekaan yang menarik dengan kemasan yang cantik
  • Skrin AMOLED yang besar dan terang.
  • MediaTek Dimensity800U adalah pemproses kelas pertengahan yang berkuasa.
  • Sokongan 5G terbina.
  • Pengecasan berwayar 30W yang pantas.
  • Bicu audio 3.5mm

Kontra

  • Bateri agak kecil dan prestasinya hanya sederhana.
  • Mod malam dan makro yang tidak memuaskan.
  • Pengimbas cap jari dalam skrin terletak terlalu ke bawah.
  • Speaker mono.
  • Skrin 60Hz sahaja.


Komen ()