Intel Dilaporkan Mahu Membeli Global Foundries Untuk $30 Bilion

Diterbitkan pada July 19, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Setelah Pat Gelsinger mengambil-alih jawatan CEO daripada Bob Swan beberapa bulan sebelum ini, Intel dilihat sangat agresif dalam mahu meningkatkan populariti, pembuatan dan pengeluaran cip-cip pemprosesan mereka, khususnya apabila pada minggu lepas mereka dilaporkan mahu membangun beberapa kilang pengeluaran cip semikonduktor di sekitar Eropah.

Kini, terdapat laporan yang mengatakan Intel berminat untuk membeli sebuah syarikat pembuat cip semikonduktor yang terkemuka, iaitu Global Foundries, sebagai sebahagian daripada pelan IDM 2.0 Intel untuk bukan sahaja membuat cip pemprosesan mereka sendiri, tetapi juga komponen-komponen semikonduktor yang akan digunakan oleh syarikat-syarikat lain.

Global Foundries dilihat memegang 7 peratus daripada pegangan pembuatan komponen semikonduktor dunia, yang mana mereka mempunyai klien-klien besar seperti AMD, Qualcomm dan NVIDIA yang menggunakan perkhidmatan mereka untuk membina pelbagai jenis komponen semikonduktor.

Pengambilalihan Global Foundries oleh Intel, jika ia benar dan berjaya akan menjadikan Intel sebagai salah satu daripada pembuat cip semikonduktor terbesar di dunia, yang mana mereka bukan sahaja akan membangunkan komponen-komponen semikonduktor untuk diri mereka, malah untuk syarikat-syarikat lain dan juga pesaing-pesaing mereka dalam arena perkomputeran.

Setakat ini masih tiada apa-apa yang disahkan mengenai perkara ini, tetapi jika Intel benar-benar akan cuba untuk membeli pegangan Global Foundries, ia dilihat sebagai satu lagi langkah syarikat tersebut untuk menghidupkan semula era kegemilangan Intel yang dilihat telah ditawan oleh syarikat-syarikat seperti AMD dan TSMC.

Sumber: Wall Street Journal

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami