Cari @ Amanz

Orang Amerika amat sayang kebebasan mereka sehingga perintah memaki pelitup muka ketika wabak disamakan seperti perintah memakai lambang Bintang Nabi Daud oleh orang Yahudi ketika kekejaman Nazi. Mereka benci segala bentuk halangan termasuklah kebebasan untuk memuntahkan fahaman berbaur perkauman menjadi kiblat kehidupan. Oleh itu bagi golong pencinta kebebasan sayap kanan, Freedom Phone telah dilancarkan di Amerika Syarikat minggu lalu.

Freedom Phone menggunakan sistem operasi FreedomOS yang berasaskan Android. Menurut pengasas Freedom Phone, sistem operasi sudah diubah bagi mengelakkan data pengguna diintip oleh syarikat teknologi gergasi seperti Google. Bagaimana ini dilakukan tidak boleh diberitahu pada waktu ini.

Aplikasi akan ditawarkan menerusi stor PatriApp yang berjanji tidak akan memadam aplikasi yang ditawarkan menggunakan alasan tapisan seperti Google dan Apple yang memadam aplikasi seperti Parler kerana melanggar TOS.

Setiap Freedom Phone turut akan mempunyai aplikasi terpasang seperti Signal, DuckDuckGo, Brave Parler, One America News Network, Newsmax, dan Rumble yang digemari kalangan patriot sayap kanan di Amerika Syarikat.

Spesifikasi peranti masih lagi dirahsiakan tetapi berdasarkan imej peranti yang dikongsi, ia mungkin sebuah Umidigi A9 Pro yang dijenamakan semula. Oleh itu ia sekadar dilengkapi pemproses MediaTek Helio P90 yang sudah agak berusia. Sungguhpun begitu ia akan dijual di Amerika Syarikat pada harga $499 (~RM2104) sebuah yang jauh lebih mahal berbanding harga jualan asal A9 Pro sekitar $120 (~RM506) di China.

Ironi di sini ialah Freedom Phone ialah peranti buatan China dengan cip yang berusia hampir dua tahun tetapi menyasarkan pencinta Amerika Syarikat yang perlu membayar harga premium demi secebis “kebebasan”.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd