Hujung minggu lalu kami melaporkan lebih 1000 mesin melombong kriptowang bernilai lebih RM5 juta telah dirampas oleh Polis Diraja Malaysia di Miri kerana terlibat dalam kegiatan mencuri elektrik. Di ruangan komen kami dapat melihat ada yang berharap mesin akan dilelong dengan komponen dapat digunakan semula pada harga rendah.
Harapan mereka ini pastinya musnah kerana sebenarnya kesemua mesin yang dirampas tekah dilupuskan dengan cara yang cukup tragis. Sebuah mesin penggelek jalan telah digunakan untuk menggilis kesemua mesin yang dirampas menjadi lempeng kripto yang hanya layak dijual semula sebagai besi sekerap.
Tindakan melupuskan mesin yang dirampas ini sebenarnya adalah amat merugikan dan hanya menyumbang kepada pencemaran sisa elektronik. Dalam dunia kekurangan cip pastinya ada cara lebih lestari boleh diambil pihak berkuasa untuk melupuskan barangan yang disita. Kereta dan motosikal misalnya akan dilupuskan secara lelongan tahunan. Tetapi mesin melombong telah menjadi lempeng besi dalam kes ini. Janganlah melombong dengan bekalan kuasa yang dicuri jika tidak ingin mesin melombong anda menerima nasib yang sama.