Carian
Dua Bekas Pekerja WhatsApp Hadir Dengan “HalloApp” – Aplikasi Media Sosial Peribadi Seakan Path
July 20, 2021 Fahim Zahar

Pada 14 November 2010, Path telah ditubuhkan. Ia adalah laman media sosial yang memfokuskan privasi dan lebih bersifat bersendiri, seperti di dalamnya hanya anda dan rakan-rakan yang anda pilih sahaja boleh berinteraksi antara satu sama lain. Oktober 2018, Path menamatkan perkhidmatan mereka dan kini selepas tiga tahun ada pesaing muncul cuba menawarkan platform media sosial seakan PathHalloApp.

HalloApp dibangunkan oleh Neeraj Arora dan Michael Donohue, iaitu bekas Ketua Pegawai Perniagaan WhatsApp dan juga bekas Ketua Jurutera WhatsApp. Mereka mendakwa yang HalloApp adalah platform rangkaian hubungan sebenar di antara pengguna pertama. Tambahan beliau lagi, perkhidmatan mereka ini membolehkan perkongsian detik penting, memori indah, dan pelbagai lagi lebih bermakna.

Aplikasi ini dilihat terbahagi kepada empat tab utama, iaitu laman utama untuk melihat segala siaran daripada rakan, perbualan berkumpulan, perbualan individu, dan juga tetapan. HalloApp juga dikatakan tiada penggunaan sebarang algoritma, tiada iklan dan setiap mesej disulitkan untuk lebih keselamatan yang menjamin privasi dan sekuriti pengguna. Anda juga perlu tahu nombor rakan, ahli keluarga atau yang tersayang untuk sama-sama melihat siaran masing-masing atau berbual.

Platform media sosial HalloApp dikatakan mungkin akan mengenakan caj langganan di masa akan datang. Tetapi buat masa ini, pada peringkat awal – ia percuma untuk semua pengguna peranti iOS dan juga Android.

Komen