Cari @ Amanz

DuckDuckGo merupakan salah satu perkhidmatan yang memfokuskan kepada privasi ketika melayari web. Untuk tujuan berkenaan, mereka menawarkan khidmat enjin carian tanpa penjejak, selain pelayar web mudah-alih di Android dan iOS.

Terbaru, DuckDuckGo turut memperluaskan penawaran mereka dalam terus melindungi privasi pengguna, dan telah mengumumkan ciri pelindung emel untuk membuang sebarang penjejak yang hadir bersama emel.

Melalui perkhidmatan pelindung emel ini, ia akan menawarkan alamat emel @duck.com secara percuma yang berfungsi sebagai pelapis kepada alamat emel sedia ada anda. Sebarang emel yang dihantar melalui alamat @duck.com ini akan menapis sebarang penjejak sebelum dibaca oleh pengguna.

Selain itu, DuckDuckGo turut akan membolehkan anda menjana alamat emel sementara untuk digunakan oleh anda pada sesuatu web.

Untuk makluman, sebelum ini Apple sedia menawarkan ciri lebih kurang sama, dan menariknya kini ia turut diperkenalkan beberapa penyedia perkhidmatan lain.

Buat masa ini, ciri ini masih terhad melalui jemputan sahaja. Bagi anda yang berminat, boleh melakukan pendaftaran minat pada aplikasi pelayar web mudah-alih DuckDuckGo hari ini.

Anda hanya perlu ke aplikasi DuckDuckGo di Android atau iOS, dan seterusnya memilih Settings > Email Protection. DuckDuckGo mengatakan mereka akan memberikan notifikasi apabila jemputan untuk anda telah tersedia.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd