Oppo Watch telah diperkenalkan sekitar Julai tahun lalu. Ianya dilengkapi sistem operasi WearOS, paparan AMOLED, sokongan Watch VOOC Flash Charging dan banyak lagi. Di Malaysia, Oppo Watch ditawarkan pada tanda harga RM899 (41mm) dan RM1,299 (46mm).

Terkini, Oppo kini dilihat dalam persediaan untuk memperkenalkan pengganti baharunya iaitu Oppo Watch2. Memetik perkongsian Oppo di Weibo, Oppo Watch2 akan membuat kemunculan rasminya pada 27 Julai 2021. Buat masa ini, belum ada sebarang informasi lebih lanjut mengenainya yang dikongsi oleh Oppo.

Namun, ia dikatakan telah mula tersenarai di kedai atas talian di China, JD.Com. Ia mendedahkan reka bentuk dan pilihan warna untuk Oppi Watch 2. Dapat dilihat, ia mempunyai rekaan yang sama seperti generasi sebelumnya – lengkap dengan muka jam jam berbentuk empat segi dengan sisi yang dibulatkan.
Tetapi, perubahan ketara jelas kelihatan pada rekaan tali jam yang kini menggunakan cangkuk jenis standard sama seperti kebanyakan jam tangan biasa. Sebagai pilihan, Oppo Watch2 boleh didapati dalam dua saiz seperti 42mm dan 46mm.

Seterusnya, kedai atas talian tersebut turut menyenaraikan beberapa spesifikasi utama dan fungsi pada jam tangan pintar. Oppo Watch2 akan didatangkan denan cip Apollo4s binaan bersama Ambiq dan Oppo. Ia juga akan mempunyai sokongan RTOS yakni mod jimat bateri jam tangan pintar untuk jangka hayat bateri lebih panjang.
Lain-lain spesifikasi, ia juga bakal memuatkan storan 16GB, menyokong aplikasi Oppo Relax bagi membantu pengguna menenangkan diri dan muka jam tangan serba baharu. Penawaran lebih lanjut, sama-sama kita nantikan pelancaran rasminya pada minggu hadapan.
Sumber : Oppo Weibo, GSMARENA