Cari @ Amanz

Sukhoi telah memperlihatkan rekaan pesawat terkini mereka Sukhoi LTS Checkmate ketika acara MAKS yang berlangsung di Moscow semalam. Pesawat tempur ringan generasi kelima ini dilihat sebagai pencabar kepada pesawat Lockheed Martin F-35 Lightning II yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat.

Pesawat adalah lebih kecil berbanding Sukhoi Su-57 Felon yang baru sahaja memulakan operasi dengan Tentera Udara Rusia pada penghujung 2020. Checkmate hanya dilengkapi satu enjin sahaja dengan sayap pula adalah dari jenis rekaan delta. Bahagian penyedut udara diletakkan di bawah kokpit membuatkan ia mirip dengan pesawat Boeing X-32 yang kalah kepada F-35 untuk memenangi kontrak Joint Strike Fighter pada tahun 2001.

Seperti F-35 dan Su-57, Checkmate menyimpan senjata di dalam tubuh pesawat bagi mengurangkan keratan rentas radar sekaligus menyukarkannya untuk dikesan. Tempat simpanan diletakkan pada bahagian sisi dan perut dengan video mengatakan pesawat boleh membawa sehingga lima peluru berpandu udara-ke-udara. Bom pintar dan konvensional juga boleh digunakan apabila pesawat memulakan operasi kelak.

Pesawat menyasarkan jarak operasi sehingga 3000 km, kelajuan mencecah Mach 2 dan membawa senjata sehingga 7400 kilogram. Seperti kesemua pesawat tempur generasi kelima, Checkmate akan menggunakan radar AESA dengan tumpuan diberikan untuk melakukan misi tanpa mudah dikesan. Sungguhpun begitu ia dikatakan masih mampu melakukan pertempuran bersemuka seperti pesawat tempur biasa kerana tubuh yang mampu menahan tekanan sehingga 8G.

Sukhoi merancang penerbangan pertama Checkmate dilakukan menjelang 2023 dengan operasi bermula 2026. Checkmate menyasarkan jualan secara eksport oleh itu setiap unit dijual pada harga sekitar $30 juta (~RM127 juta) yang sedikit lebih murah berbanding $40 juta (~RM170 juta) untuk sebuah Su-57.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd