Cari @ Amanz

Seperti yang dijanjikan, Samsung Galaxy M21 2021 Edition kini dilancarkan secara rasmi di India. Jika dilihat dengan teliti, ia sebenarnya hanyalah sebuah Samsung Galaxy M21 yang dipersembahkan dalam rekaan yang diberikan nafas baru. Sebabnya, tiada sebarang perubahan untuk spesifikasi dalaman yang dibuat oleh Samsung pada telefon pintar ini.

Sekali imbas, rekaannya mirip sebuah Huawei P20 Pro dengan perbezaan terletak pada sokongan pengimbas cap jari fizikal. Ia turut menampilkan rekaan yang dikemaskini dengan panel belakang bertekstur dan berjalur. Samsung Galaxy M21 2021 Edition boleh didapati dalam dua pilihan warna seperti Artic Blue atau Charcoal Black.

Untuk spesifikasi khusus, ia masih dilengkapi skrin 6.4-inci Super AMOLED FHD+, dijana cip Exynos 9611, memori sehingga 6GB RAM dan storan dalaman sehingga 128GB. Ia juga hadir dengan tri-kamera belakang dengan gabungan 48-Megapixel (utama), 8-Megapixel (Ultra-lebar) dan 5-Megapixel (kedalaman) manakala kamera hadapan sebesar 20-Megapixel.

Bateri sebesar 6,000mAh membekalkan sumber kuasa dengan sokongan pengecasan 15W. Untuk harga, Samsung Galaxy M21 2021 Edition dijual bermula INR11499 (~RM653).

Sumber : Samsung India

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd