Carian
Redmi 10 Dan Mi Pad 5 Melepasi SIRIM – Bakal Tiba Tidak Lama Lagi?
July 22, 2021 Amy Maizuraa

Perancangan Xiaomi untuk hadir dengan tablet baru iaitu Mi Pad 5 bukanlah sesuatu yang rahsia kerana informasi mengenainya telah tular meluas di media sosial. Baik dari segi reka bentuk mahupun spesifikasi utama pada tablet berkenaan. Dalam diam, tablet berkenaan didapati telah melepasi pengesahan SIRIM.

Tablet berkenaan muncul dengan nombor model 21051182G dan didaftarkan dengan nama pemohon Xiaomi Technologies Malaysia Sdn Bhd di bawah kategori tablet PC. Ia kemudiannya telah diluluskan pada 21 Julai 2021. Ini sekaligus memberi bayangan bahawa kita bakal menyaksikan pelancarannya untuk pasaran tempatan tidak lama lagi.

Tablet ini bagaimanapun masih belum dilancarkan secara rasmi. Tetapi, terdapat perkhabaran yang mengatakan ada kemungkinan ia akan membuat kemunculan rasmi sekitar bulan Ogos depan.

Di samping tablet, terdapat juga telefon pintar Redmi 10 yang turut sama tersenarai di laman SIRIM. Pensijilan mendedahkan ia muncul dengan nombor model 21061119AG dan ia didaftarkan dengan nama pemohon yang sama seperti Mi Pad 5.

Selain SIRIM, telefon pintar berkenaan juga turut tersenarai di pensijilan Indonesia Telecom dengan nombor model yang sama. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan perkembangan selanjutnya berkaitan kedua-dua produk daripada Xiaomi ini.

Komen