Cari @ Amanz

Pada tahun 2021, peranti boleh-lipat boleh dikatakan sudah menjadi lebih normal dengan jenama-jenama seperti Samsung, Huawei, Motorola dan sebagainya semua hadir dengan peranti boleh-lipat mereka sendiri dan ia dilihat bahawa lebih banyak lagi peranti boleh lipat yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Tetapi tahukah anda bahawa teknologi substrat kini telah lebih maju sehinggakan terdapat syarikat yang kini memperkenalkan komponen boleh-lipat? ARM, syarikat pembangun teknologi SoC baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka bukan sahaja berjaya membina sebuah komponen SoC tanpa menggunakan silikon, tetapi juga komponen ini boleh dilipat juga.

Dinamakan PlasticArm, teknologi ini diperkenalkan pada tahun 2015 sebagai sebuah konsep yang memperlihatkan komponen yang boleh dilipat. Ia hanyalah sebuah konsep sebelum ini kerana limitasi terhadap teknologi yang hadir pada waktu tersebut yang tidak membenarkan idea ini menjadi nyata.

Terkini, dengan teknologi yang memperlihatkan komponen-komponen yang jauh lebih nipis, konsep PlasticArm ini sudah boleh menjadi nyata. Menurut penerangan Arm, SoC ini ialah gabungan teknologi transistor logam oksida nipis yang digabungkan dengan substrat yang boleh dilentur.

Buat masa ini, cip PlasticArm ini dibangunkan berdasarkan cip Cortex-M0 yang dilengkapi dengan memori 128 byte dengan storan 456 byte, tetapi ia adalah bukti bahawa teknologi ini boleh dibangunkan dan ada kegunaan praktikal yang boleh digunakan di masa hadapan.

Dengan ini, Arm berjaya membangunkan sebuah konsep yang befungsi daripada sebuah idea yang sedikit sebanyak hanya angan-angan fiksyen sains. Di masa akan datang, peranti boleh-pakai tidak akan hanya terhad kepada jam ataupun cermin mata pintar, tetapi baju, label, pengimbas kesihatan yang nipis dan sebagainya.

Setakat ini ia tidak diketahui lagi bilakah Arm dijangka akan memperkenalkan PlasticArm ini untuk tujuan komersil, tetapi kami menjangkakan ia akan mengambil masa beberapa tahun sebelum sebuah komponen lengkap yang boleh digunakan akan diperlihatkan.

Sumber: Android Authority

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd