Carian
OnePlus Buds Pro Turut Diumumkan Dengan Ketahanan Bateri Sehingga 38 Jam
July 22, 2021 Amy Maizuraa

Seiring pengenalan OnePlus Nord 2 5G, jenama ini turut mengemaskini rangkaian aksesori audio dengan penawaran produk terkini. Melaluinya, OnePlus Buds Pro telah diumumkan dan fon telinga ini merupakan pengganti kepada model OnePlus Buds sebelum ini.

Dari segi rekaan, ia menampilkan gabungan rekaan fon jenis dalam telinga bertangkai bersama pod pengecas yang berbentuk empat segi. Melaluinya, ia turut hadir dengan warna Matte Black yang dipadankan dengan kemasan berkilat pada bahagian tangkai dan kemasan matte pada bahagian lain. Sementara itu, terdapat juga warna Glossy White yang menampilkan gabungan warna putih dan kelabu.

Seterusnya, ia turut dilengkapi sepasang pemandu audio bersaiz 11mm, sokongan Adaptive Noise Cancellation, tiga mikrofon yang mampu mengurangkan bunyi hingar sehingga 40dB secara automatik dan mod permainan dengan latensi 94ms. Tidak ketinggalan, ia juga mampu beroperasi sehingga 38 jam berterusan jika pembatalan hingar dimatikan. Jika sebaliknya, ia boleh bertahan maksimum 23 jam dengan pod pengecas. Di samping itu, ia diiklankan mampu untuk menawarkan masa main balik selama 5 jam dengan pembatalan hingar dihidupkan atau mencapai 7 jam tanpanya.

Lain-lain spesifikasi termasuk – penarafan rintangan air IP55, tambatan pantas OnePlusFast Pair, Bluetooth 5.2, pengecasan berwayar menerusi port USB-C dan pengecasan nirwayar menggunakan format Qi. OnePlus Buds Pro dijual pada harga €149 (~RM741).

Komen