Carian
HP Chromebook x360 11 G3 Dilancarkan Di Malaysia pada Harga RM1299
July 23, 2021 Effi Saharudin

Sebuah lagi Chromebook baharu dari HP memasuki pasaran Malaysia hari ini. HP Chromebook x360 11 G3 ialah komputer riba ChromeOS yang menyasarkan penggunaan di kalangan pelajar sekolah yang memerlukannya untuk pembelajaran atas talian serta melakukan tugasan yang diberikan oleh pengajar.

HP Chromebook x360 11 G3 dilengkapi skrin 11.6″ LCD yang menyokong sentuhan dan juga stylus Wacom yang disertakan. Ia dipadankan dengan cip Intel Celeron N402 dengan grafik Intel UHD Graphics 600, memori sebesar 4GB LPDDR4 dan storan 32GB eMMC. Storan boleh ditambah menggunakan kad mikro SD.

Komputer riba ini adalah dari jenis 2 dalam 1 yang boleh dilipat menjadi sebuah tablet apabila diperlukan. Terdapat juga 2x USB 3.1 Type-C Gen 1, 2x USB 3.1 Gen 1 dan bicu audio 3.5mm. Bateri yang digunakan adalah sebesar 47 Wh yang dicas semula menggunakan pengecas 45W menerusi port USB-C. Di Malaysia HP Chromebook x360 11 G3 ditawarkan pada harga RM1299 untuk waktu yang terhad sebelum dijual pada harga biasa RM1499 sebuah.

Komen