Corning ialah syarikat disebalik panel kaca Gorilla Glass terkenal yang digunakan untuk memastikan paparan skrin peranti anda tidak mudah dicalar. Terkini, Corning mengumumkan bahawa mereka telah membangunkan dua siri kaca perlindungan yang digunakan khusus untuk melindungi lensa kamera peranti pintar pula.
Siri gelas ini dinamakan Gorilla Glass with DX dan Gorilla Glass with DX+ yang sebelum ini pernah diperkenalkan untuk peranti boleh-pakai seperti jam pintar dan sebagainya, tetapi cabaran untuk Corning ialah untuk membangunkan kaca perlindungan yang lebih kecil dan nipis untuk kamera peranti pintar.
Corning mengatakan bahawa untuk kaca dengan lapisan perlindungan biasa, ia lazimnya hanya membenarkan 95 peratus daripada cahaya persekitaran untuk memasuki lensa kamera peranti, tetapi dengan Gorilla Glass with DX dan DX+, mereka berjaya meningkatkan nilai tersebut ke 98 peratus.

Kebolehan membenarkan lebih banyak cahaya memasuki lensa kamera dan seterusnya ke sensor kamera ialah penting kerana dengan lebih banyak cahaya, lebih banyak maklumat mengenai gambar atau video yang ingin diambil pengguna boleh didapati oleh sensor kamera, dan ini secara langsung akan meningkatkan kualiti fotografi kamera tersebut.
Dalam pada itu, Corning juga tidak melupakan bahawa kaca perlindungan ini masih perlu melindungi lensa kamera, dan dengan kamera-kamera peranti pintar yang semakin canggih, ini adalah keperluan yang semakin penting, khususnya untuk peranti-peranti pintar kelas mercu dan premium.
Ia dilaporkan bahawa Samsung adalah jenama pertama yang akan menggunakan kaca perlindungan lensa kamera Gorilla Glass with DX/DX+ ini. Ia bertepatan dengan pelancaran siri peranti boleh-lipat Samsung yang akan diadakan pada bulan hadapan, jadi ini adalah perkembangan yang agak menarik buat Corning untuk melihat bagaimanakah kaca perlindungan ini akan dapat mengubah sedikit kualiti kamera peranti pintar disamping memastikan keselamatannya.