Cari @ Amanz

Pandemik mengubah landskap dunia perfileman dengan bukan sahaja proses menghasilkan filem menjadi lebih sukar tetapi panggung wayang ditutup, penayangannya juga berubah. Sebelum pandemik idea menawarkan filem terus ke rumah seperti strategi Netflix dipandang rendah tetapi selepas pendapatan terjejas teruk studio besar akur dengan kehendak pengguna.

Menurut laporan Variety, studio Warner Bros. kini akan menghasilkan 10 filem pada tahun 2022 eksklusif untuk platform penstriman mereka HBO Max. Tayangan di panggung masih lagi penting untuk Warner Bros. tetapi filem menerusi platform penstriman dilihat sebagai keperluan semasa kerana perubahan dunia pasca Covid-19.

Warne Bros. juga akan mula menawarkan filem-filem yang ditayangkan di wayang ke rumah menerusi VOD, penstriman dan medium fizikal 45 hari selepas ia mula ditayangkan di panggung. Sebelum ini mereka menunggu di antara 75-90 hari sebelum perkara yang sama dilakukan.

Strategi Warner Bros. menawarkan filem lebih awal ke rumah sudahpun menerima kritikan pengarah seperti Christopher Nolan yang melihat filem beliau harus ditonton di wayang untuk dinikmati dengan betul. Tetapi dunia sudah berubah dan tidak akan kembali ke norma lama. Ramai peminat filem lebih selesa menonton di rumah berbanding di panggung. Dengan Netflix mengaut keuntungan yang tinggi sepanjang pandemik, studio tidak mahu terus ketinggalan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd