Carian
Pandang Pertama Huawei MatePad 11 – Bertambah Harmoni Dengan Cip Snapdragon 865!
July 26, 2021 Fahim Zahar

Seperti yang anda semua tahu, Huawei akhirnya telah memasarkan peranti-peranti mereka yang menjalankan sistem operasi Harmony OS. Ia adalah sistem operasi Huawei kendiri dengan HMS untuk kesemua peranti mereka berada dalam satu ekosistem yang mesra pengguna. Harmony OS masih lagi berasaskan Android, di mana mereka menggunakan kod sumber terbuka AOSP dan menggabungkan elemen-elemen mereka tersendiri untuk menjadikan ia lebih unik.

Selepas kita lihat Huawei MatePad Pro 12.6″, Huawei Watch 3 Pro dan juga Huawei Vision S, kini giliran sebuah lagi tablet Huawei – iaitu Huawei MatePad 11. Tablet ini telah tiba ke tangan kami lebih awal untuk diuji dan ini adalah artikel pandang pertama mengenai pendapat awal penggunaan tablet ini.


Spesifikasi Dan Rekaan

Huawei MatePad Pro 11″
Skrin10.95″ TFT LCD, 2560 x 1600, 120Hz
PemprosesQualcomm Snapdragon 865
Cip1 x Cortex-A77 2.84 GHz
3 x Cortex-A77 2.4 GHz
4 x Cortex-A55 1.8 GHz
Cip GrafikAdreno 650
Sistem OperasiHarmony OS 2.0
RAM6GB
Storan Dalaman128GB UFS 3.1 (MicroSD 1TB)
Kamera Utama13 Megapixel f/1.8
Kamera Swafoto8 Megapixel f/2.0
Bateri7250 mAh
Pengecasan berwayar 18W
SIM/TelefoniWiFi sahaja
Pembesar Suara4 + HUAWEI Histen 7.0
Bicu AudioTiada
Sistem ImbasanImbasan Wajah, Kamera
Harga JualanBelum diumumkan

Buat pertama kalinya Huawei menggunakan cip Snapdragon, selepas bertahun memfokuskan penggunaan cip Kirin mereka. Snapdragon 865 masih lagi berkuasa dan memuaskan jika digunakan pada masa sekarang. Cuma untuk MatePad 11, memori yang ditawarkan terhad kepada 6GB RAM sahaja dengan storan dalaman sehingga 128GB. Beralih kepada skrin, Huawei menggunakan panel LCD 10.95″ jenis TFT dengan kadar segar semula 120Hz serta resolusi melebihi 2K melalui format WQXGA dengan nisbah 16:10.

Peranti ini menjalankan Harmony OS 2.0 yang mana berasaskan Android 10. Mereka yang menantikan kehadiran sistem operasi Android fork, akhirnya boleh mengujinya. Kamera adalah sensor yang asas iaitu 13MP untuk belakang dan 8MP untuk swafoto.

MatePad 11 ini juga tidak menyokong kad SIM, jadi rangkaian adalah terhad dengan WiFi sahaja. Untuk audio, tiada port bicu audio – tetapi ada empat pembesar suara terbina dengan sistem Huawei Histen 7.0. Untuk sekuriti pula, ia menggunakan imbasan wajah sahaja melalui kamera swafoto tadi.

Bateri pada hemat saya antara yang mengecewakan, kerana hanya menyokong kuasa 18W pengecasan. Ini bermakna kapasiti 7250mAh akan mengambil masa yang agak lama untuk dicas sehingga penuh.

Unit yang kami terima ini berwarna Olive Green, iaitu penawaran kemasan premium mereka yang menggunakan tekstur “kulit”. Rekaan modul kamera adalah lebih kurang sama seperti peranti generasi lama mereka bersama lubang mikrofon. Kemasan ini memberikan sedikit cengkaman tambahan. Di bawah hanya ada port USB-C, dua kekisi pembesar suara, sama jumlahnya di atas dengan butang kuasa sekali. Di sisi kanan pula ada tiga lubang mikrofon bersama butang aras suara dan akhir sekali di kiri ada slot kad mikroSD.

Tablet ini cukup ringan, mudah dikendalikan – cuma rekaannya tiada faktor yang membuatkan saya rasa Wow!.

Pengalaman Penggunaan

Pada awalnya saya agak risau dengan skrin tablet ini kerana menggunakan jenis TFT. Tetapi selepas beberapa minggu penggunaan, saya dapati ia adalah sebuah panel yang cukup baik. Saya sebenarnya lupa apakah jenis skrin digunakan, semasa hari pertama menggunakannya ia mempunyai paparan yang cukup cerah, warna yang cantik, butiran jelas – seakan iPad Air yang saya gunakan sekarang.

Ia menyokong 120Hz, yang mana cukup pantas dan lancar. Semua tatalan mempunyai peralihan animasi yang kemas, sedap mata memandang. Cuma penggunaan 16:10 sedikit aneh berbanding 3:2 atau 21:9 dan lain-lain yang lebih kerap digunakan. Menonton video juga cukup menarik sekali, kerana MatePad 11 ini menyokong lesen DRM L1 untuk Netflix pada kualiti HD. Sayang sekali tiada sokongan HDR atau format lain yang lebih cantik.

Saya agak skeptikal dengan Harmony OS, kerana ia kelihatan lebih kurang sama lagi dengan EMUI. Tetapi, saya silap. Walaupun asas sistem ini adalah Android 10 dan kita sudah menghampiri ke Android 12 stabil – Harmony OS 2.0 berani saya katakan adalah sistem operasi “Android” terbaik pernah saya gunakan pada sesebuah tablet. Saya pernah guna Galaxy Tab S7, Mi Pad 4, tablet Nexus – tidak ada satu yang membuatkan saya terkejut seperti mana yang HUawei lakukan.

Jelas sekali Huawei mengambil inspirasi daripada Apple melalui kejayaan iPad dan iPadOS yang sehingga hari ini adalah tablet terbaik yang semua orang boleh gunakan. Misalnya ada dock di skrin utama untuk akses pintas aplikasi kegemaran serta akses kepada aplikasi yang baru sahaja dibuka sebelumnya. Kemudian dengan sokongan multi-tugasan, tetingkap terapung dan beberapa elemen penting lagi adalah sangat mendekati iPadOS.

Walaupun elemen EMUI itu masih dikekalkan, sedikit elemen iOS juga jelas telah disertakan. Bukan dari segi negatif, tetapi positif. Kerana ia menjadikan tablet ini memiliki antaramuka mesra pengguna yang tidak mengelirukan. Untuk diri saya yang setiap masa menggunakan iPad Air ini, MatePad 11 tidak terasa asing walaupun baru menggunakannya untuk tempoh singkat.

Disebabkan tidak pernah lagi tablet Huawei hadir dengan cip Snapdragon 865 dan pasaran tablet Android lain dengan cip ini juga tidak meluas – sukar untuk kami bandingkan adalah ia lebih pantas daripada EMUI dan Kirin 9000. Penggunaan seperti aplikasi video, muzik, media sosial dan menguji ciri dan fungsi tablet ini setakat ini adalah sangat pantas. Saya sempat menguji Asphalt 9, masalah saya temui hanya di skrin memuat dan selepas selesai penghalaman bermain pada tetapan tinggi dilihat tiada masalah. Saya akan cuba seksa lagi tablet ini dengan permua lain yang lebih berkuasa dalam ulasan kelak.

Perkara yang membuatkan saya teruja adalah Multi-Screen Collaboration antara MatePad 11 dan komputer riba Huawei seperti MateBook 14. Saya boleh jadikan tablet ini sebagai paparan kedua sama ada mirror atau extend, saya juga boleh menggunakan M-Pencil pada tab ini sambil ia memaparkan Windows dan paling penting – saya boleh gunakan papan kekunci dan tetikus saya secara terus tanpa perlu tambatan semula pada tablet.

Membuatkan saya lebih teruja adalah, MateBook 14 saya menjalankan Windows 11 versi percubaan dan Internet di rumah saya yang tidak stabil. Gandingan kedua-dua peranti ini sangat lancar seakan saya menggunakan MatePad 11 dengan Windows 11. Isu saya temui adalah audio ada sela masa, Huawei Share tidak boleh digunakan sambil skrin dikongsi ke tablet – berbeza dengan telefon dan jika skrin terkunci kadangkala (tidak begitu kerap) sambungan akan mati secara tiba-tiba.

Kalau sebelum ini saya katakan saya tidak boleh hidup tanpa GMS jika menggunakan peranti HMS, sehinggakan rasa tertekan. Saya boleh katakan, mungkin Huawei sudah menghampiri titik kejayaan untuk orang menerima HMS. Kerana saya amat berpuas hati. Netflix boleh main, Prime Videoi boleh, muzik Tidal juga tiada masalah, perkhidmatan emel saya adalah Hey juga berjalan lancar. Cuma untuk membolehkan sesiapa hidup dengan HMS, asas Android seperti APK, mod pembangun, tahu tetapan sistem A untuk apa B untuk apa dan seterusnya – pasti tiada masalah.

Petal Search juga dilihat telah diintegrasikan dalam App Gallery. Apabila saya mencari Facebook, Twitter yang sebelum ini memaparkan pintasan versi web kini ada pintasan ke APKPure dan laman-laman lain. Begitu juga dengan Netflix dan pelbagai aplikasi lain lagi.

Stilus M-Pencil

M-Pencil adalah jawapan Huawei kepada Apple Pencil. Ia adalah stilus dengan sokongan mengesan 4096 tekanan, menyokong ciri tap pada tubuh, rekaan bersegi agar tidak bergolek, serta menggunakan pengecasan nirwayar magnetik pada atas tablet. Ia juga direka agar menjadi lebih tahan lasak. Penggunaan stilus ini agak baik, lebih kurang dengan iPad atau Surface.

Cuma sedikit menjengkelkan, kerana hanya boleh diletakkan pada satu arah sahaja dan jika salah arah – ia tidak akan dicaj dan hanya akan m elekat seakan aksesori magnet. Dalam cubaan ringkas, menulis tidak menjadi masalah begitu juga melakar. Tetapi perlu dapatkan aplikasi pihak ketiga yang lebih sesuai. Aplikasi nota pada peranti ini tidak begitu baik, kerana tidak sensitif. Walaupun sudah tetapan kesan stilus sahaja, ia tetap mengesan tapak tangan.

Smart Magnetic Keyboard

Masih sama, sejak generasi lama lagi – aksesori papan kekunci magnetik pintar merangkap selongsong pelindung Huawei MatePad 11 ini adalah seakan aksesori OEM murahan sahaja. Kemasan dilihat cukup berkualiti, kekunci dan bahagian lain juga kelihatan cukup kukuh. Tetapi, penggunaan magnetik adalah sangat tidak bagus kerana ia jarang melekat dengan baik.

Hanya tertolak sedikit, tablet boleh tertanggal daripada kedudukan asal dan skrin akan terus jatuh dengan hentaman kuat pada papan kekunci. Contoh magnet kuat dan baik adalah pada Magic Keyboard untuk iPad. Papan kekuncu juga lembut, tidak ada travel yang baik dan tidak ada pad sesentuh. Saya lebih gemar menaip pada skrin dan pegang begitu sahaja. Aksesorin ini saya hanya jadikan sebagai tempat untuk saya lindung tablet apabila tidak menggunakannya.

Kesimpulan

Nampaknya dengan Harmony OS yang sudah stabil, pelbagai isu dan masalah yang ada pada EMUI semasa awal mereka tidak menyertakan GMS boleh dikatakan majoritinya sudah diselesaikan. Saya yang sebelum ini rasakan EMUI dan HMS menjengkelkan, kini saya boleh terima seadanya. Sehingga hari, MatePad 11 masih di tangan saya, saya jadikan sebagai tablet menonton video serta untuk membaca.

Saya akan uji lagi kemampuan tablet ini dan lihat sama ada akan ada kemaskini baharu ataupun tidak. Pengalaman sekitar dua minggu adalah menyeronokkan. Huawei nampaknya dengan HarmonyOS telah berjaya mengharmonikan produk mereka dan ada cahaya nur kelihatan untuk masa depan yang lebih cerah.

Pro

  • Skrin LCD yang berkualiti tinggi serta pantas dengan 120Hz.
  • Snapdragon 865, antara cip berkuasa yang masoh bertahan sehingga hari ini.
  • Skrin yang terang walaupun di bawah cahaya matahari yang terik.
  • Sokongan M Pencil yang baik dan lancar.
  • Saiz bateri yang besar dan tahan dua hari.
  • HarmonyOS dengan HMS adalah satu perubahan terbaik kali ini.

Kontra

  • Pengesan hanya 18W.
  • Kamera tidak cantik dan terlampau asas.
  • Tiada GMS masih adalah isu besar bagi kebanyakan pengguna.
  • Tiada bicu audio walaupun saiz peranti yang besar.
  • Aksesori papan kekunci yang mengecewakan.
Komen