GoPayz, dompet digital keluaran U Mobile baru-baru ini telah menambahkan sokongan baru bagi pengguna Kad Maya UnionPay yang mana mereka boleh membayar tempat letak kereta menggunakan aplikasi GoPayz.
Fungsi pembayaran ini dinamakan Frictionless Parking, dan untuk pemilik kad maya UnionPay, mereka boleh menetapkan pembayaran automatik dengan memasukkan beberapa butiran seperti nombor plat kereta pada aplikasi GoPayz dibawah tetapan cara pembayaran dan Frictionless Parking yang baru sahaja diperkenalkan.
Setelah fungsi ini diaktifkan dan butiran kenderaan disahkan, para pengguna UnionPay ini boleh mula menikmati ciri pembayaran tempat letak kereta automatik tanpa perlu mengambil tiket dan membayar di mesin autopay lagi.
Cara teknologi ini berfungsi ialah sebuah kamera akan mengimbas nombor plat kereta di palang masuk tempat letak kereta, dan apabila pelanggan mahu keluar, sebuah lagi kamera akan mengimbas nombor plat yang sama dan menolak nilai baki kredit daripada aplikasi GoPayz pengguna tersebut.
Lebih menarik lagi, pengguna juga boleh menambah seberapa banyak nombor plat kereta yang diperlukan, sekiranya mereka memiliki lebih dari satu kenderaan.
Fungsi pembayaran Frictionless Parking UnionPay dan GoPayz ini dibangunkan bersama-sama Sonicboom License Plate Recognition, yang mana pada masa ini digunakan di dua lokasi tempat letak kereta, iaitu Desa Sentul Commercial Park dan juga Metro Point Complex. Pihak GoPayz juga mengatakan bahawa lebih banyak lokasi baru yang akan diperkenalkan yang akan menyokong fungsi pembayaran ini tidak lama lagi.