Cari @ Amanz

Walaupun siri kad grafik NVIDIA RTX 3000 masih sukar untuk dibeli hari ini, kerana kekurangan komponen dan juga masalah pelombong kriptowang dan penjual-semula yang memonopoli pasaran kad grafik ini, NVIDIA dikatakan masih giat membangunkan kad grafik generasi akan datang.

Sejumlah peniris maklumat nampaknya sepakat dalam mengatakan bahawa siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4000 akan hadir dengan cip grafik yang diberikan kod nama “Lovelace”, berdasarkan nama saintis terkemuka Ada Lovelace yang juga dikenali sebagai pengaturcara komputer pertama di dunia.

Tidak banyak spesifikasi yang diketahui mengenai GPU NVIDIA Lovelace ini, tetapi ia dipersetujui bahawa konsep rekaan cip pemprosesan grafik terbaru NVIDIA ini sudahpun memasuki fasa akhir rekaan yang akan diuji lagi, dan dibangunkan kelak.

Apa yang menarik di sini ialah cip pemprosesan NVIDIA Lovelace ini akan dibangunkan menggunakan proses 5nm, yang merujuk kepada jarak diantara dua transistor dalam sebuah cip pemprosesan, tetapi buat masa ini ia tidak diketahui samada ia akan dibangunkan oleh TSMC, atau perkhidmatan pembinaan cip Samsung akan digunakan sekali lagi.

Beberapa ciapan daripada peniris maklumat komponen terkemuka memperlihatkan beberapa maklumat penting, tetapi yang menariknya NVIDIA dilihat sedang bersiap-sedia untuk mengekang kelebihan AMD yang mana mereka bukan sahaja sedang membangunkan GPU Lovelace, tetapi juga sebuah lagi GPU yang dinamakan Hooper, berkemungkinan berdasarkan ahli sains angkasa Dan Hooper.

Lebih menarik lagi, menurut blog Moore’s Law is Dead pula, GPU NVIDIA Lovelace mungkin akan digunakan dalam aplikasi SoC NVIDIA yang lain, khususnya dalam pembangunan teknologi kenderaan pintar NVIDIA, yang akan dijenamakan semula sebagai siri SoC Orin. Semua ini adalah spekulasi buat masaa ini, khususnya kerana tiada butiran rasmi yang diperlihatkan oleh NVIDIA.

Tetapi satu maklumat yang dipersetujui oleh ramai, jika tidak semua peniris maklumat ini ialah siri kad grafik berdasarkan Lovelace akan diperkenalkan sekitar suku keempat 2022 kelak. Ini adalah kerana terdapat juga maklumat bahawa NVIDIA akan memperkenalkan siri kad grafik GeForce RTX 3000 Super pada awal tahun depan untuk komputer desktop dan juga komputer riba gaming.

Sayangnya buat masa ini, maklumat paling penting yang ingin diketahui ramai, iaitu kembalinya sumber bekalan kad grafik yang normal masih lagi tidak dapat disahihkan. Sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini, bekalan komponen dan bahan-bahan yang diperlukan untuk membangunkan cip-cip pemprosesan, semikonduktor dan transistor masih lagi dilihat akan menghadapi masalah bekalan.

Sumber: VideoCardz

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd