Apple pada tahun ini telah memperkenalkan Apple iMac generasi baharu, yang hadir dijana menggunakan cip pemprosesan Apple M1 tersendiri.
Hasil penggunaan cip pemprosesan Apple M1 ini, ia hadir bukan sahaja dengan rekaan yang nipis, tetapi juga turut menawarkan kuasa pemprosesan berkuasa bersaa dengannya. Apple juga buat pertama kalinya memberikan kemaskini pada rekaan, sekaligus turut menawarkan pilihan sejumlah warna berbeza bersama Apple iMac M1 ini.

Rekabentuk Berwarna-Warni
Apple iMac M1 ini hadir dengan rekaan yang nipis, dan berwarna-warni. Ketika awal membuat pembelian, pengguna mungkin akan menghadapi masalah dalam memilih warna kegemaran untuk komputer yang akan menemani anda bagi tempoh beberapa tahun. iMac M1 yang digunakan kami ini adalah berwarna biru.
Ia hadir dengan rekaan yang nipis, memudahkan ia diletakkan pada sebarang meja.

Pada bahagian hadapan, ia masih mengekalkan rekaan ikonik dagu bersaiz sedikit besar. Tiada lagi logo Apple pada bahagian hadapan, dan hanya pada bahagian belakang sahaja. Dagu ini memudahkan anda sekiranya ingin melekatkan nota seperti Post-it dan sebagainya dalam memastikan anda tidak terlepas sebarang tugasan.

Butang kuasa diposisikan pada bahagian belakang iMac, selain kabel juga disambungkan secara magnetik dengan mudah. Beberapa port disediakan, termasuk kabel USB-C ke Lightning didatangkan bersama pembelian bagi memudahkan anda mengecas iPhone.
Pengurusan Kabel Teratur
Pada bongkah kuasa juga, iMac baharu ini menyertakan sambungan ethernet bagi memudahkan anda melakukan sambungan internet berwayar. Langkah ini memudahkan lagi pengurusan kabel pada komputer iMac ini.

Memudahkan Pemindahan
Apple iMac boleh ditetapkan sebagai komputer baharu untuk pengguna yang menggunakan sistem operasi macOS buat pertama kalinya. Sebaliknya juga, pengguna turut boleh menetapkan ia sebagai salinan pendua kepada komputer macOS sedia ada.

Daripada percubaan kami, proses pemindahan ini mengambil masa dalam beberapa jam, dan prosesnya juga agak mudah. Pengguna hanya perlu berhubung ke rangkaian WiFi yang sama, dan memulakan proses pemindahan antara dua komputer.
Sokongan Pengimbas Cap Jari
Papan kekunci dan tetikus untuk iMac disambungkan secara nirwayar. Menariknya juga, papan kekunci baharu ini hadir dengan sokongan pengimbas cap jari, bagi memudahkan anda log masuk dan melakukan pengesahan dengan mudah pada iMac – lebih kurang seperti pada MacBook.

Webcam Yang Lebih Cantik
iMac M1 ini menariknya hadir dengan sokongan webcam 1080p FaceTime HD, sekaligus amat sesuai untuk digunakan ketika anda sedang melakukan tugasan bekerja dari rumah, atau ketika melalui pembelajaran dari rumah. Menariknya, sokongan kamera ini adalah lebih berkuasa pada resolusi tinggi berbanding beberapa komputer riba Macbook lain di pasaran – yang sekadar menawarkan resolusi 720p.
Terdapat pengoptimasian tambahan yang disertakan, membolehkan hasil menggunakan kamera hadapan lebih baik berbanding kebiasaan pada komputer Apple.
Prestasi Lebih Baik Berbanding MacBook Pro Intel
Apple iMac M1 ini dilihat menawarkan prestasi yang lebih berkuasa berbanding dengan komputer riba MacBook Pro yang sedia digunakan kami – yang berasaskan cip Intel. Ujian kami menjalankan sejumlah perisian, termasuk seperti pelayar web, perisian penyuntingan Adobe dan sebagainya berjalan dengan lancar tanpa masalah pada iMac – malah lebih lancar tanpa sebarang masalah lengah masa, yang kadang-kala dihadapi MacBook Pro berasaskan Intel.
Ini sekaligus memperlihatkan masa depan yang cerah untuk cip Apple M1, dan kuasa yang dibawakannya yang lebih lancar dan efisien berbanding cip Intel.
Sokongan Perisian Tanpa Masalah
Berbeza dengan versi Windows yang mengehadkan pemasangan perisian bukan Intel pada cip ARM, pelaksanaan Apple pula dilihat lebih baik. Pengguna masih dapat memasang perisian yang dibangunkan untuk macOS sama ada versi Intel atau Apple Silicon tanpa masalah.

Namun, versi yang dioptimasikan untuk Apple Silicon memaparkan pemprosesan yang lebih pantas dan lancar berbanding versi yang tidak dioptimasikan. Beberapa perisian turut memaparkan notifikasi berkaitan perkara ini, termasuk seperti Adobe.
Apa yang kami inginkan lagi?
Sekiranya iMac ini akan menerima kemaskini, kami berharap agak lebih banyak port disertakan – seperti pembaca kad SD, dan lain-lain. iMac model ini tiada sokongan USB-A yang mungkin masih digunakan ramai. Kami tidak menghadapi masalah dengan kekurangan port USB-A kerana menggunakan storan berasaskan awan, tetapi menghadapi masalah ketika ingin memindahkan dokumen atau gambar dari kad SD. Walaupun ia boleh diselesaikan menggunakan dongel, tetapi ia mungkin lebih mudah dan disukai sekiranya hadir terbina.
Harga Bermula RM5599
Apple iMac M1 ditawarkan pada harga bermula RM5599, dimana model asas hadir dengan sokongan dwi-port USB4, dan tiada papan kekunci dengan pengimbas cap jari, serta akses Ethernet. Model dengan sokongan berkenaan bermula pada harga RM6499.

Sebagai alternatif lain, pengguna turut boleh mendapatkan Mac Mini dan juga monitor bersesuaian yang mungkin gabungannya berharga lebih rendah sedikit.