Cari @ Amanz

Apabila berlaku kecemasan di udara, juruterbang mempunyai tempoh yang pendek untuk menghubungi menara kawalan, menetapkan haluan terbaik, mencari sumber masalah dan melakukan tetapan terbaik untuk mengelakkan pesawat dari terhempas. Proses ini adalah sukar pada pesawat kecil yang sedang diterbangkan secara solo. Bagi mengelakkan tragedi berlaku, Garmin Smart Glide telah dilancarkan minggu ini.

Smart Glide ialah sistem kecemasan yang mengambil alih tugas menjadi pembantu juruterbang dalam situasi kecemasan seperti enjin gagal berfungsi. Apabila suis Smart Glide diaktifkan, ia akan secara automatik mengubah haluan pesawat kecil ke lapangan terbang terhampir, mengubah sudut luncur sekiranya enjin tidak berfungsi dan mengubah frekuensi radio untuk menyiarkan isyarat kecemasan. Juruterbang kemudian boleh melakukan tugasan lebih penting seperti cuba menghidupkan semula enjin atau menyelesaikan isu yang mengakibatkan kecemasan.

Menggunakan data GPS, suhu, cuaca dan arah angin, haluan yang terbaik untuk ke lapangan terbang bagi melakukan pendaratan kecemasan akan dilakukan oleh Smart Glide bagi pihak juruterbang. Apabila hampir sampai ke destinasi, isyarat diberikan kepada juruterbang untuk mengambil alih penerbangan secara manual.

Smart Glide adalah serasi dengan sistem navigasi Garmin GTN Xi sedia ada menerusi kemas kini sistem bermula bulan hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd