Cari @ Amanz

Apabila bercakpak mengenai cakera keras berkapasiti tinggi, seperti kapasiti 10, 15, ataupun 20TB ia secara lazimnya akan dibangunkan dengan teknologi kelas perindustrian untuk sektor-sektor yang memerlukan storan yang besar seperti CDN, pembelajaran mesin, mesin pengolahan grafik dan sebagainya.

Seagate, salah satu jenama pembuat storan digital terkemuka juga sedar bahawa pengguna biasa juga kini ramai yang memerlukan jumlah storan yang besar khususnya untuk menyimpan fail-fail dengan saiz yang besar seperti permainan video, album lagu, fail bekerja ataupun untuk storan NAS mereka sendiri.

Oleh kerana ini, Seagate mengesahkan bahawa mereka akan mula membangunkan dan memasarkan storan cakera keras yang menggunakan teknologi PMR (Perpendicular Magnetic Recording), berbanding dengan teknologi lebih maju seperti SMR ataupun HAMR yang lebih mahal.

Teknologi SMR (Shingled Magnetic Recording) dan HAMR (Heat Assisted Magnetic Recording) secara lazimnya digunakan untuk membolehkan pembangun storan untuk menyimpan lebih banyak data dengan memadatkan penyimpanan data atau menambahkan kepadatan cakera didalam rekaan yang sama, dan oleh itu ia lebih mahal berbanding dengan cakera keras yang menggunakan teknologi PMR.

PMR ialah teknologi merekod data kedalam cakera storan yang paling lazim digunakan khususnya untuk industri pengguna, dan ialah teknologi yang sama akan digunakan untuk cakera-cakera keras baru ini. Dari segi prestasi ia dilihat akan beroperasi pada kadar penghantaran dan penerimaan data lebih laju daripada SMR, tetapi hadir dengan kos yang lebih rendah.

Ini bermakna bahawa ia bukan sahaja pemain-pemain industri yang akan dapat memanfaatkan storan bersaiz besar ini, tetapi sektor pengguna biasa juga, yang mungkin tidak begitu percaya akan perkhidmatan storan awanan, atau tidak mahu melanggan perkhidmatan storan secara bulanan.

Seagate mengatakan bahawa cakera keras ini sudahpun mula disampel kepada beberapa pelanggan terpilih, dan pengumuman mengenai penjualan rasminya akan diperlihatkan tidak lama lagi.

Sumber: Seeking Alpha

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd