Jika ada sesiapa yang tidak mengenali jenama Infinix. Ia merupakan pengeluar telefon pintar yang berasal dari Hong Kong. Jenama ini terkenal dengan penawaran telefon pintar yang menguntungkan nilai wang kepada pengguna. Di mana, kebanyakan telefon pintar keluaran mereka dijual pada tanda harga yang mampu-milik. Sebagai permulaan memasuki pasaran tempatan, Infinix telah mempertaruhkan beberapa model buat para pengguna – ini temasuklah Infinix Hot 10S.

Bercakap lebih lanjut mengenainya, Infinix Hot 10S dilihat mempunyai spesifikasi yang melebihi batas harga. Misalnya, skrin besar dengan kadar segar semula 90Hz. Kemudian, diikuti pula dengan cip Mediatek Helio G85, sistem tri-kamera yang menyokong sensor utama 48-Megapixel dan bateri berkapasiti 6,000mAh yang besar. Tetapi, mampukah Infinix Hot 10S turut sama untuk mencipta nama dalam segmen telefon pintar bajet yang selama ini dimonopoli oleh peranti-peranti daripada Xiaomi, Redmi dan Realme? Ini adalah artikel ulasan saya untuk Infinix Hot 10S selepas hampir dua minggu menggunakannya.
Spesifikasi Ringkas Telefon Pintar
Infinix Hot 10S | |
---|---|
Skrin | 6.82″ TFT LCD (IPS), HD+ (720 x 1640) (~263 ppi) |
Pemproses | MediaTek Helio G85 (12nm) |
Cip | 2 x 2.0 GHz Cortex-A75 6 x 1.8 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G52 MC2 |
RAM | 4GB |
Muatan Dalaman | 64GB |
Kamera Utama | 48-Megapixel (f/1.8) 2-Megapixel (f/2.4) AI Lens |
Kamera Swafoto | 8-Megapixel f/2.0 |
Bateri | 6,000mAh Pengecasan berwayar 10W |
SIM/Telefoni | SIM Nano + SIM Nano +MicroSD |
NFC | Tiada |
Bicu Audio | Ada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari fizikal & Imbasan Wajah |
Harga Jualan | Bermula RM499 |
Reka Bentuk
Sebagai permulaan, Infinix Hot 10S yang saya terima untuk artikel ulasan ini adalah bewarna hitam atau nama komersialnya Black yang sememangnya berada pada kelas tersendiri. Beberapa pilihan warna lain turut ditawarkan oleh Infinix, tetapi secara peribadi saya merasakan kemasan hitam ini lebih memukau. Bak kata orang, hitam itu menawan bukan? Bagi saya sendiri sendiri, hitam juga adalah warna yang kelihatan ringkas. Bahkan, ia juga warna yang sangat serbaguna. Selain daripada hitam, Infinix Hot 10S turut ditawarkan di Malaysua dalam pilihan warna biru.

Jelas kelihatan juga, setiap sudut panel belakang telefon pintar tidak dibiarkan kosong, Sebaliknya, ia dihiasi dengan reka bentuk bercorak – sekaligus memberikan impak yang menarik. Bagi yang tertanya-tanya apakah jenis material yang digunakan pada panel belakangnya. Ia adalah sejenis polikarbonat berkilat. Mungkin ada sesetengah yang beranggapan bahawa binaan plastiknya kelihatan agak murah. Namun, tiada komen negatif daripada saya mengenai material yang digunakan kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada realiti atau dianggap ‘perkara biasa’ untuk telefon pintar dengan julat harga bermula di bawah RM500.
Bagaimanapun, perlu anda tahu bahawa reka bentuknya tidak menggunakan teknik ukiran timbul tetapi corak ini dihasilkan dalam bentuk yang rata. Maksud saya di sini, ia langsung tidak mempunyai tekstur yang kasar. Dalam keadaan ini, anda dinasihatkan untuk lebih berhati-hati sewaktu memegang kerana permukaan panel belakangnya agak licin.

Tidak dinafikan, Infinix Hot 10S mempunyai sisi yang melengkung yang mana sepatutnya sangat membantu dalam memberikan cengkaman yang baik. Perlu diingatkan, anda masih perlu berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Daripada percubaan sementara saya sendiri, pernah beberapa kali juga telefon pintar ini hampir terlepas daripada tangan. Tetapi, nasib menyebelahi saya apabila masih pantas untuk menangkapnya sebelum terjatuh menghempas ke lantai, lalu mengejutkan kuman-kuman yang ada disekeliling.
Seperkara lagi kerana penggunaan panel belakang sebegini, sememangnya memerangkap cap jari dengan mudah. Adakalanya ia agak menjengkelkan apabila terpaksa mengelapnya dengan kerap. Pastinya akan ada yang berkata, penggunaan kerangka pastinya dapat menyelesaikan pemasalahan ini. Sememangnya tidak dinafikan, ia adalah salah satu penyelesaian yang bernas. Malah, Infinix juga tidak lokek untuk memberikan kerangka percuma di dalam kotak pembungkusan. Perkara kedua yang perlu diakui adalah binaan kerangka yang diberikan juga jauh lebih baik – jika nak dibandingkan dengan kerangka plastik atau silikon lembik yang biasa diberikan oleh sejumlah jenama lain.
Tapi kelemahannya adalah kerangka yang diberikan tidak melindungi keseluruhan tubuh telefon pintar. Sebabnya, ia hanya melindungi pada keempat-empat bucu sahaja. Tetapi, tidak pada bahagian kerangka logam tubuh di bahagian tengah. Oleh itu, kadar peratusan untuk bahagian tersebut calar balar adalah sangat tinggi. Jadi, saya rasa ada baiknya jika sebuah kerangka tahan lasak dimiliki.

Melengkapi rekaan di belakang ini adalah sokongan pengimbas cap jari fizikal berbentuk segi empat. saya tidak mempunyai masalah dengan kedudukan pengimbas ini, tetapi sedikit kecewa dengan prestasinya. Ada masanya, ia berfungsi dengan cukup pantas dan tepat. Tetapi, ia juga kerap gagal mengimbas cap jari dengan baik – walaupun pada jari yang bersih. Akibat daripada keadaan ini, saya berputus asa untuk menggunakannya dan terus memasukkan kod kata laluan untuk mengaksesnya. Pujian walau bagaimanapun boleh diberikan pada fungsi imbasan wajahnya. Ia sememangnya mampu menyahkunci telefon pintar dengan pantas, meskipun pada persekitaran yang gelap.
Seterusnya, turut kelihatan adanya modul kamera berbentuk segi empat bersama empat bulatan didalamnya. Tetapi mesra saya katakan, anda jangan tertipu dengan apa yang dilihat. Mengapa? Ia sebenarnya hanyalah gimik semata-mata. Ketahuilah, ia hanya mempunyai tiga kamera di belakang dan satu lagi bulatan hanyalah perhiasan dengan tulisan 48M – ia mungkin salah satu daripada bentuk strategi Infinix bagi menunjukkan secara jelas bahawa telefon pintar ini dilengkapi sensor utama 48-Megapixel.

Pada bahagian hadapan, ia menggunakan rekaan skrin bertakuk kecil. Paparan ini juga turut menempatkan sokongan dua LED Flash yang diletakkan pada bahagian bezel atas skrin telefon pintar. Perlu anda tahu bahawasanya kewujudannya di sini bukalah sekadar hiasan. Sebaliknya, lampu-lampu ini mempunyai tujuannya yang tersendiri. Misalnya, lampu sebelah kiri akan menyala sewaktu proses pengecasan peranti dibuat dengan skrin tertutup. Seterusnya, kedua-dua LED ini akan menyala sewaktu tangkapan gambar swafoto atau panggilan video (jika diaktifkan) sebagai sumber cahaya tambahan.
Pada bahagian sisi kanan terdapat butang kuasa dan laras audio. Manakala, bahagian sisi kiri pula menempatkan talam untuk dua SIM dan satu kad mikroSD. Port pengecasan MikroUSB, bicu audio 3.5mm dan pembesar suara pula berada pada bahagian bawah. Bahagian atas telefon pintar pula hanya terdapatnya lubang mikrofon. Telefon pintar ini juga mempunyai ciri DTS yang membolehkan pengguna menyesuaikan kesan bunyi untuk pengalaman audio lebih baik.

Kesemua elemen yang disertakan oleh Infinix pada telefon pintar ini adalah ciri-ciri standard yang boleh kita harapkan untuk sesebuah telefon pintar. Seperkara lagi yang penting ialah ia dibina dengan baik bersama tubuh agak nipis meskipun memuatkan bateri yang besar. Selesa juga di bawa ke mana-mana dan disimpan di poket. Tetapi komen negatif harus saya berikan pada port pengecasan MikroUSB yang mana sepatutnya sudah digantikan dengan sambungan USB-C.
Paparan
Pada panel hadapan, Infinix Hot 10S mempunyai paparan berukuran 6.82-inci IPS LCD yang sememangnya cukup besar daripada kebanyakan telefon pintar dalam kelasnya. Malah, saiznya sedikit besar jika dibandingkan dengan skrin Samsung Galaxy Note 10+ yang saya gunakan sebagai peranti kegunaan harian. Meskipun resolusi yang digunakan hanyalah HD+ (720 x 1640 piksel), tetapi skrin pada Infinix Hot 10S ini masih mempunyai kelebihan menarik lain contohnya seperti sokongan kadar segar semula tinggi mencapai 90Hz. Ini menjadikan pengalaman penggunaan skrin terasa lebih lancar berbanding paparan 60Hz.

Tambahan pula, ciri berkenaan merupakan salah satu pertimbangan utama kebanyakan pengguna hari ini. Cuma seperti biasa, panel 90Hz sudah semestinya akan menggunakan bateri yang banyak. Namun begitu, anda masih disajikan dengan pilihan sama ada ingin menggunakan skrin 60Hz atau 90Hz yang diubah menerusi tetapan. Pada masa sama, terdapat juga satu lagi tetapan dinamakan sebagai ‘Auto-Switch Refresh Rate‘ – yang mana ia akan membolehkan sokongan kadar segar semula berubah secara automatik mengikut keperluan sesuatu aplikasi atau kandungan itu sendiri.

Secara keseluruhan, paparannya baik-baik sahaja. Ia tidak mempunyai pewarnaan yang sangat cantik atau ketajaman terperinci – tetapi masih memadai untuk harganya. Ia bagaimanapun, tidak mendatangkan masalah untuk kebanyakan penggunaan aktiviti harian biasa. Pengalaman menonton kandungan video dan bermain permua masih terasa baik sekali disebabkan saiz skrinnya yang besar. Dari segi kecerahan, ia mempunyai kecerahan yang mencukupi dan jelas untuk penggunaan secara indoor. Tetapi, tidak cukup terang untuk penggunaan secara terus di bawah cahaya matahari terik. Hal ini kerana, paparan skrin akan menjadi malap dan sukar untuk dilihat dengan baik. Kekurangan turut terletak pada sudut pandangan yang terhad.
Antaramuka
Perlu diakui, ini merupakan pengalaman pertama saya menggunakan telefon pintar keluaran Infinix. Sudah pastinya, pengalaman peribadi saya akan berbeza dengan mana-mana pihak. Infinix Hot 10S dijana dengan sistem operasi terkini Android 11. Bersama-sama dengannya, ia dibina berasaskan antaramuka XOS Dolphin 7.6.



Papan antaramukanya menyajikan proses navigasi yang mudah dan berfungsi dengan baik. Ia bagaimanapun, sedikit aneh. Kemudian, ia juga berhadapan dengan masalah aplikasi gendut (bloatware) yang sedia muat turun. Bahkan, ia juga agak menjengkelkan kerana ia sering memberi pemberitahuan. Selain itu, ia juga kerap kali memaparkan iklan. Sungguhpun begitu, fungsi tambahan yang disertakan padanya masih menarik:
- Stylized Icons – Antaramuka yang mengintegraskan unsur geometri daripada alam semula jadi bagi mewujudkan pengalaman ikon yang kemas.
- Enhanced Reachability – Mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan.
- Xhide – Ruangan rahsia untuk ‘menyembunyikan’ pelbagai aplikasi agar tiada siapa yang dapat melihatnya tanpa persetujuan.
- Theft Alert – Apabila ia diaktifkan, penggera akan berbunyi sekiranya fon telinga atau kabel dicabut daripada telefon pintar. Ia adalah ciri yang sangat berguna dalam usaha menyelamatkan telefon pintar daripada kecurian. Tambahan pula, sekiranya tiada pengawasan daripada mana-mana pihak.
- Mod Kanak-kanak Membolehkan pengguna menetapkan had penggunaan telefon pintar dan menyesuaikan aplikasi yang boleh digunakan oleh anak-anak.

- XClone (Dwi Aplikasi) – Mencipta aplikasi klon bagi membantu pengguna log masuk ke berbilang akaun secara serentak. Ia menyokong pelbagai aplikasi seperti WhatsApp, Messenger, Facebook, Instagram dan banyak lagi.
- Photo Compressor – Saiz gambar akan dimampatkan untuk lebih penjimatan ruang simpanan – misalnya daripada MB ke KB.
- Video Assistant – Fungsi yang membolehkan pengguna menikmati pengalaman tontonan lebih baik. Melaluinya, pengguna boleh menolak sebarang gangguan daripada panggilan atau mesej masuk secara automatik. Pengguna juga boleh merakam atau mengambil tangkapan skrin daripada video; memainkan YouTube pada latar belakang atau menyemak mesej menerusi tetingkap terapung.
- Dar-Link Game Boost Technology – Teknologi yang membantu mengoptimumkan prestasi telefon pintar dengan meningkatkan paparan grafik dan sensitiviti skrin sentuh. Dalam pada itu, ia juga dapat meningkatkan prestasi dari segi penggunaan tenaga dan kawalan suhu.
Seterusnya, Infinix Hot 10S menggunakan pemproses lapan teras MediaTek Helio G85. Untuk unit ulasan diterima, ia dilengkapi memori sebesar 4GB RAM bersama storan dalaman 64GB. Sebagai pilihan, ia juga mempunyai varian dengan storan lebih besar – iaitu 4GB/128GB. Bagi mana-mana pengguna yang mahukan storan lebih besar, ia turut menyokong fungsi penambahan storan menerusi kad microSD sehingga 256GB.

Pada awalnya, telefon pintar berfungsi seperti biasa tanpa sebarang masalah. Namun, tanpa diduga hari demi hari, satu demi satu masalah mula timbul. Misalnya, isu lengah masa yang menjadikan prestasi telefon pintar sedikit perlahan. Kemudian, isu juga kerap berlaku pada aplikasi media sosial seperti Facebook – di mana aplikasi sering gagal berfungsi dengan baik. Walaupun hanya kadangkala – masalah ini agak menjengkelkan.

Di sini juga terdapat beberapa jenis permainan yang dicuba seperti PUBG Mobile. Tetapan asal grafik pada permainan ini adalah ‘HD’ dengan kadar bingkai ‘High’. Ia juga merupakan tetapan grafik paling tinggi untuk permainan ini. Tetapi, tetapan kadar bingkainya masih boleh mencecah ‘Ultra’ apabila anda memainkannya pada grafik ‘Smooth’ dan ‘Balanced’.

Seterusnya, permainan Mobile Legends: Bang bang. Tetapan untuk grafik pada permainan ini boleh mencapai ‘high’ bersama HD dan HFR Mode yang diaktifkan. Pengalaman permainan kebanyakannya terasa baik. Tetapi, kadang kala berlakunya masalah paparan tersangkut – terutama ketika pertarungan secara berkumpulan. Akhir sekali, permainan Genshin Impact pula tetapan asal grafik adalah pada ‘lowest’ dengan mod 30fps. Tiada apa yang boleh diharapkan daripadanya – bermain sekadar berseronok sahaja.

Kamera
Kemampuan kamera utama Infinix Hot 10S adalah terdiri dengan 48-Megapixel + 2-Megapixel + AI Lens. Dari segi rakaman, kamera utama ini boleh merakam pada tetapan tertinggi sehingga 1080p pada 30fps dan tiada sokongan untuk OIS. Kamera hadapan pula sebesar 8-Megapixel bersama sokongan LED dengan dwi pencahayaan. Antaramuka aplikasi kamera Infinix Hot 10S adalah kemas dan amat mudah difahami.

Senarai aplikasi kamera yang disediakan juga boleh digunakan untuk tangkapan pelbagai mod penggambaran. Antaranya seperti, AI Cam, Portrait, Super Night, AR Shot, Panorama, Documents dan lain-lain. Turut disertakan adalah mod HDR bagi membolehkan gambar diambil dengan imbangan cahaya lebih baik. Berikut saya sertakan beberpa contoh gambar yang sempat diambil sepanjang tempoh ulasan. Kepelbagaian hasil gambar ini mungkin agak terhad disebabkan kekangan dalam tempoh PKP ini.
Gambar pada pencahayaan terang nampak memuaskan dengan butiran dan penghasilan semula warna yang boleh diterima. Begitu juga dengan gambar di kawasan tertutup, kameranya masih dapat mengambil gambar yang baik dan terperinci. Tetapi, gambar kelihatan agak lembut. Beralih pada gambar pada waktu malam, keperincian pada gambar berkurang dengan penghasilan semula warna agak kelam.
Bateri
Infinix Hot 10S membawakan bateri dengan kapasiti besar 6,000mAh yang mana dijangka memadai untuk pengunaan harian. Tapi sayangnya, kuasa pengecasan hanyalah 10W. Pada penggunaan sederhana, ia mampu memberikan ketahanan jangka hayat bateri mencapai 10 jam SOT untuk skrin 90Hz. Ia bagaimanapun, sedikit berkurang pada penggunaan yang ekstrem – misalnya, bermain permua secara berterusan. Proses pengecasan semula pula mengambil masa lebih daripada dua jam. Bagaimanapun, keadaan ini sebenarnya bukan suatu hal yang mengejutkan kerana kuasa pengecasan yang disediakan hanyalah 10W.
Senarai Pesaing
Infinix Hot 10S | Realme C25s | Samsung A22 4G |
6.82″ TFT LCD (IPS), HD+ (720 x 1640) (~263 ppi), 90Hz | 6.5″ IPS LCD, HD+ (720 x 1600), (~270 ppi), 60Hz | 6.5″ IPS LCD, HD+ (720 x 1600), (~274 ppi), 60Hz |
MediaTek Helio G85 (12nm) 2 x 2.0 GHz Cortex-A75 6 x 1.8 GHz Cortex-A55 | MediaTek Helio G85 (12nm) 2 x 2.0 GHz Cortex-A75 6 x 1.8 GHz Cortex-A55 | Mediatek Helio G80 (12 nm) 2 x 2.0 GHz Cortex-A75 6 x 1.8 GHz Cortex-A55 |
Mali-G52 MC2 | Mali-G52 MC2 | Mali-G52 MC2 |
4GB RAM | 4GB RAM | 4GB RAM |
64/128GB ROM | 128GB ROM | 128GB ROM |
Kamera Utama 48-Megapixel 2-Megapixel AI Lens | Kamera Utama 48-Megapixel 8-Megapixel 2-Megapixel | Kamera Utama 48-Megapixel 2-Megapixel 2-Megapixel 2-Megapixel |
Kamera Hadapan 8-Megapixel | Kamera Hadapan 8-Megapixel | Kamera Hadapan 13-Megapixel |
Tiada | Tiada | Tiada |
Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm |
Audio Mono | Audio Mono | Audio Mono |
6,000mAh Pengecasan berwayar 10W | 6,000mAh Pengecasan berwayar 18W | 5,000mAh Pengecasan berwayar 15W |
Harga Bermula RM499 | Harga RM699 | Harga RM899 |
Kesimpulan
Infinix Hot 10S dilihat menawarkan nilai pembelian berbaloi atas penawaran spesifikasi yang berpatutan dengan harganya. Ia menawarkan prestasi baik sebagai peranti kegunaan harian. Di mana, kehadiran skrin besar yang hebat dengan kadar segar semula tinggi untuk kegunaan multimedia. Seterusnya, kemampuan kamera adalah memadai untuk perkongsian kandungan di media sosial. Malah, prestasi untuk permua juga adalah baik untuk kebanyakan situasi – tetapi bergantung juga dengan jenis permainan dan tetapan yang dimainkan.

Kekurangan paling ketara adalah resolusi skrin hanyalah HD+, port sambungan mikro-USB dan pengecasan 10W. Namun begitu, kesemua ini telah diganti oleh Infinix dengan ciri-ciri lain yang saya sebutkan di awal perenggan kesimpulan ini. Lagipun, dengan tanda harga sebegini sudah pasti mustahil untuk kita dapatkan serba-serbi sempurna. Ingat, anda dapat apa yang anda bayar.
Pro
- Skrin besar dengan sokongan 90hz yang membuatkan telefon pintar terasa baik.
- Kemampuan kamera memuaskan dalam kelasnya.
- Prestasi bateri memuaskan.
- Bicu audio 3.5mm.
- Dwi-LED Flash sumber cahaya tambahan.
Kontra
- Skrin sekadar HD+.
- Port sambungan mikroUSB & pengecasan hanya 10W.
- Pengimbas cap jari kurang responsif.
- Pembesar suara mono.
