Nokia XR20 akhirnya dilancarkan secara rasmi dan ia adalah sebuah peranti tahan lasak yang kalis air dan juga debu. Peranti ini dilengkapi skrin 6.67″ IPS LCD, dijana cip Snapdragon 480, memori sehingga 6GB RAM, storan sehingga 128GB yang boleh ditambah sehingga 512GB menggunakan kad mikro SD dan bateri sebesar 4630 mAh. Sokongan pengecasan pantas sehingga 18W diberikan.

Kamera utama menggabungkan sensor 48MP sudut lebar dan 13MP ultra sudut lebar lengkap dengan dwi-flash. Pada bahagian hadapan pula terdapat kamera sebesar 8MP. Dengan kaca Gorilla Victus, Nokia mengatakan peranti ini mampu menahan hentakan dari ketinggian 1.8 meter, melepasi juga piawaian MIL-STD 810H dan julat suhu diantara -22° C hingga 55° C.

Peranti turut mempunyai tubuh seakan bampar bagi menyerap hentakan. Sementara itu pengimbas cap jari diletakkan pada bahagian sisi dengan satu butang tambahan pada bahagian atas yang boleh diprogramkan untuk melancarkan aplikasi. Dari segi audio pula sepasang speaker dengan sistem audio spatial OZO disertakan bersama dengan bicu audio 3.5mm. Tidak ketinggalan ialah kemampuan menggunakan rangkaian 5G.

Dari segi sokongan perisian pula, Nokia komited memberikan sokongan tiga versi sistem operasi Android dan sokongan tampalan sekuriti sehingga empat tahun. Di UK, Nokia XR20 dijual pada harga £449 (~RM2625) untuk bersi 6/128 GB dan £399 (~RM2332) untuk versi 4/64 GB.