Baik lelaki mahupun perempuan, kalau perasan semakin ramai yang mula beralih kepada penggunaan fon telinga nirwayar atau boleh juga dikenali sebagai True Wireless Stereo (TWS). Keadaan ini adalah baik bagi mengatasi masalah wayar berselirat sewaktu menggunakan fon telinga berwayar. Pada masa sama, turut mengikuti rapat perkembangan trend semasa.

Sehingga kini terdapat pelbagai jenis fon telinga nirwayar yang dihasilkan. Namun begitu, tanda harganya sudah pastilah berbeza bergantung pada ciri dan fungsi yang ditawarkan oleh sesebuah fon telinga itu sendiri. Baru-baru ini, Huawei telah mengemaskini rangkaian aksesori audionya menerusi pengenalan Huawei FreeBuds 4 yang dijual pada harga RM599. Ia merupakan pengganti kepada Huawei FreeBuds 3 yang dilancarkan pada tahun 2019.
Seperti pendahulunya, masing-masing mempunyai penampilan luaran yang sama. Di mana, ia kelihatan serupa dengan Apple AirPods lengkap bersama rekaan jenis fon telinga terbuka bertangkai. Meskipun begitu, pengenalannya tidak sekadar melepaskan batuk di tangga. Sebaliknya, FreeBuds 4 didatangkan dengan sistem pembatalan hingar aktif (ANC) 2.0 yang dinaik-taraf untuk pengalaman audio lebih baik. Di samping, teknologi pembatalan bunyi Adaptive Ear Matching (AEM) yang membolehkan fon telinga mengesan bentuk telinga pengguna secara automatik, seterusnya menentukan algoritma pembatalan bunyi yang optimum.

Sekali lagi, Huawei nampaknya mengambil langkah berani untuk menyertakan sokongan ANC pada fon telinga dengan rekaan terbuka sebegini. Tapi persoalannya sekarang, bagaimanakah prestasinya dalam dunia nyata? Adakah spesifikasi ditawarkan cukup untuk kepuasan semua? Berbaloikah ianya untuk dibeli? Ini adalah ulasan penuh kami untuk FreeBuds 4.
Spesifikasi Ringkas Peranti
Huawei FreeBuds 4 | |
---|---|
Jenis | Fon dalam telinga |
Pemandu | 14.3mm |
Mikrofon | Dua |
Bateri | 30 mAh pada fon telinga 410 mAh pada pod pengecas |
Port pengecas | USB-C |
Pengecasan nirwayar | Ya |
CODEC | L2HC, SBC, AAC |
Sistem operasi disokong | Android, iOS, HarmonyOS, Windows 10 |
Sokongan pembantu maya | Ya |
Pad sesentuh | Ya / 2X |
Kemampuan kalis air | IPX4 |
Storan Dalaman | – |
Audio Offline | – |
Bluetooth | 5.2 |
Harga Jualan | RM599 |
Rekaan

Bunyi macam klishe, tapi inilah hakikatnya Huawei FreeBuds 4 adalah klon kepada Apple AirPods. Lihat sahajalah kepada rekaan fizikalnya yang jelas diinspirasikan daripada fon telinga keluaran Apple tersebut. Sangat mirip, tambah-tambah lagi kalau anda membelinya dengan kemasan berwarna Ceramic White. Ia bagaimanapun, bukan satu hal yang mengejutkan. Sebabnya, ini juga adalah rekaan yang sama boleh ditemui pada generasi generasi terdahulu iaitu Huawei FreeBuds 3
Bercakap lebih lanjut mengenai pilihan warna Ceramic White, seperti namanya ia menggunakan sepenuhnya rona putih sebagai warna utama. Di samping itu, terdapat juga sedikit elemen bewarna perak yang menghiasi bahagian engsel bersama penjenamaan Huawei. Antara kelemahan yang menjadi perkara negatif terhadap kemasan sebegini adalah ia sememangnya mudah untuk kelihatan kotor. Sungguhpun begitu, segalanya bergantung juga kepada penjagaan pengguna itu sendiri.

Sebagai pilihan, Huawei FreeBuds 4 juga hadir dengan kemasan bewarna Silver Frost – sama seperti unit ulasan yang kami terima. Seperti yang boleh diihat, ia mempunyai penampilan yang lebih menyerlah berbanding Ceramic White tadi. Melaluinya, elemen warna kelabu pusam yang digunakan sebagai warna utama kelihatan menonjol, sekaligus membuatkan rupa fon telinga ini nampak lebih premium. Kami secara peribadi suka akan kemasan sebegini kerana ia sememangnya jelas mempunyai daya tarikan tersendiri dan benar-benar menarik perhatian.
Bercakap mengenai pod pengecas pula, ia dilihat masih menampilkan rekaan yang sama seperti generasi sebelumnya. Bahan binaannya juga adalah plastik pada pod pengecasan dan fon telinga itu sendiri. Perbezaan utama hanyalah saiznya kini lebih kecil dan ringan. Begitu juga dengan jisim earbuds itu sendiri yang mana kini hanya 4.1 gram. Kemudian, dengan mengekalkan rekaan bersaiz poket juga, ia semestinya mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja. Jadi, tiada komen negatif yang boleh kami berikan kerana ia dibina dengan baik dan berkualiti berbanding kebanyakan fon telinga nirwayar lain – misalnya seperti Realme Buds Air 2 yang diulas sebelum ini.

Seterusnya, ia juga dipadankan dengan binaan engsel yang kukuh dan tidak mudah tertanggal kerana terdapatnya magnet yang kuat. Begitu juga dengan kedua-dua tangkai fon telinganya yang tersimpan kemas secara magnetik. Ianya cukup kuat bagi memastikan fon telinga tidak terjatuh keluar daripada pod pengecasnya. Pada masa sama, kekal berada di kedudukan asal. Ia adalah sesuatu yang boleh dipuji.
Bahagian hadapan pod pengecas juga terdapatnya satu lampu indikator. Ia berfungsi sebagai penunjuk status tambatan dan bateri. Tidak habis disitu, terdapat juga butang khusus pada sisi kanan bertujuan untuk proses tambatan bluetooth dan penatapan semula pada mana-mana peranti pintar lain. Sambungan port USB-C turut digunakan dan diletakkan pada bahagian bawah pod pengecas.
Kawalan & Aplikasi
Bergerak pula kepada kawalan, setiap fon telinga didatangkan dengan kawalan sesentuh. Cara penggunaannya juga sangat mudah untuk difahami dan diingati. Di mana, leret keatas atau kebawah untuk mengubah kelantangan audio. Seterusnya, ketik dua kali untuk menjeda/memainkan senarai lagu dan menyeru pembantu suara. Seperkara lagi, audio yang dimainkan juga akan dijeda dan disambung semula apabila FreeBuds 4 dicabut dari telinga.
- Leret keatas / kebawah – Mengubah kelantangan audio.
- Ketik dua kali – Menjeda audio / Memainkan audio / Menyeru pembantu maya.
- Sentuh & tekan beberapa saat – Mengaktifkan / Menyahaktifkan pembatalan hingar aktif (ANC).

Kemudian, sentuh dengan lama untuk mengaktifkan/menyahaktifkan fungsi pembatalan hingar aktif. Pada masa sama, ia juga boleh digunakan untuk menolak sebarang panggilan masuk. Kesemua yang dinyatakan adalah tetapan yang diberikan secara lalai. Ianya masih boleh diubah menerusi aplikasi Huawei AI Life mengikut keselesaan. Tiada perkara negatif boleh kami katakan mengenai kawalan sesentuh ini kerana ia berfungsi dengan baik.
Proses tambatan boleh dilakukan dengan pantas dan mudah pada peranti pintar Huawei – ini termasuklah telefon pintar, tablet atau PC. Sejurus pod pengecasan dibuka, kemudiannya satu pop-up dengan grafik Freebuds 4 dan tahap bateri akan muncul pada skrin dalam beberapa saat. Proses sambungan kemudiannya berlaku secara automatik. Mana-mana peranti pintar lain yang bukan di bawah ekosistem Huawei pula, proses tambatan adalah melalui tetapan bluetooth.

Selain itu, ia juga menyokong ciri sambungan dua peranti pintar secara serentak merentasi pelbagai kategori – termasuk telefon, tablet, PC, jam tangan dan televisyen pintar. Sebagai contoh, telefon pintar dan komputer riba. Ia juga tidak terhad pada produk di bawah ekosistem Huawei sahaja. Sebaliknya, turut menyokong peranti pintar lain yang menjalankan sistem Android, iOS dan Windows.
Pada pendapat kami, ia merupakan satu ciri yang agak baik kerana dapat membantu memudahkan proses komunikasi, di samping, meningkatkan lagi produktiviti harian Misalnya, anda boleh menjawab panggilan telefon semasa memainkan video di tablet dalam satu masa. Namun begitu, audio hanya boleh didengar daripada satu sumber dalam satu masa.

Di mana, video berkenaan akan terhenti sebentar sewaktu panggilan dijawab. Kemudiannya, ia akan dimainkan semula selepas selesai. Melihat keadaan sekarang, ia lebih memberi manfaat kepada golongan pekerja yang diarahkan untuk bekerja dari rumah.
Aplikasi Huawei AI Life juga perlu dipasang pada telefon pintar untuk pengalaman penggunaan yang lebih menyeluruh. Melaluinya, pelbagai informasi dan tetapan boleh disesuaikan mengikut keselesaan. Ini termasuklah tahap bateri, tetapan untuk ANC, kawalan EQ, tetapan pintar untuk kawalan sentuhan dan fungsi Find My Earphone bagi menjejak semula fon telinga yang tercicir. Di samping itu, ia turut memaparkan senarai peranti pintar berdekatan yang sedia untuk dihubungkan dengan fon telinga menerusi bahagian “Connection Center”.
Kualiti Audio
Bercakap mengenai kualiti audio. FreeBuds 4 menawarkan tona tinggi yang tidak cukup gemersik. Seterusnya, sub-bass pada fon telinga ini juga agak lemah dan tidak bermaya. Tetapi, ia seakan lebih memberi fokus pada mid-bass dengan dentuman keseluruhan yang baik dan langsung tidak menganggu frekuensi lain.
Vokal pula secara keseluruhan memberikan pengalaman pendengaran yang cukup lantang, merdu dan mengasyikkan pada nada yang tinggi. Melaluinya, vokal sememangnya boleh didengar dengan cukup jelas – baik lagu yang dinyanyikan oleh lelaki, mahupun wanita. Tetapi, tidak pada nada rendah seperti lagu bergenre akustik atau balada keranan kadangkalanya kedengaran terlalu berlebihan.

Untuk high pula, pada nada tinggi kedengaran tidak begitu memuaskan. Ianya jelas. Tetapi, disebabkan sedikit berlebihan beberapa instrumen dan vokal menjadi agak lemah untuk beberapa situasi. Ia bagaimanapun, tidak terlalu nyaring dan bingit sehingga menyebabkan sakit telinga. Pementasan audio juga agak bercelaru seakan kesemua instrumen itu dimainkan pada jarak dekat – sehinggakan agak sukar untuk membezakan diantara satu sama lain.
Meskipun FreeBuds 4 mempunyai sokongan pembatalan hingar aktif (ANC), tetapi pada hakikatnya ia tidak berfungsi dengan baik. Di mana perbezaan antara ANC yang diaktifkan dan dinyahaktifkan adalah tidak begitu ketara. Ianya masih ada, tetapi belum cukup efektif untuk menapis kebanyakan bunyi bising di sekeliling.

Keadaan ini mungkin disebabkan oleh struktur reka bentuk terbuka yang digunakannya telah mempengaruhi bunyi keseluruhan. Tetapi kalau kita positif terhadap perkara ini, ia sebenarnya dapat memberi kebaikan dalam beberapa perkara. Misalnya, pengguna masih boleh peka dengan keadaan sekeliling bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diduga berlaku akibat kecuaian.
Ketahanan Bateri

Sama seperti pendahulunya, FreeBuds 4 diiklankan mampu bertahan dengan masa penggunaan sehingga 4 jam secara berterusan tanpa ANC. Ia kemudiannya sedikit menurun kepada 2.5 jam apabila ANC diaktifkan. Bagaimanapun, masa penggunaan ini boleh meningkat mencecah 22 jam lamanya berterusan jika ANC dimatikan. Jika sebaliknya, ia boleh bertahan maksimum 14 jam dengan pod pengecas. Waktu untuk mengecas semula pod pengecas pula berada dalam anggaran sekitar 1 jam untuk penuh menerusi port USB-C.
Pesaing
Huawei FreeBuds 4 | Samsung Galaxy Buds Live | Oppo Enco X |
14.3mm LCP Dynamic Driver | 12mm Bass Boost Driver | 11mm Woofer + 6.0mm Tweeter |
Mikrofon Dua | Mikrofon 4 Luar + 2 Dalam | Mikrofon 4 Luar + 2 Dalam |
30 mAh pada fon telinga 410 mAh pada pod pengecas | 60 mAh pada fon telinga 472 mAh pada pod pengecas | 44 mAh pada fon telinga 535 mAh pada pod pengecas |
USB-C | USB-C | USB-C |
Ya / Qi | Ya/ Qi | Ya / Qi |
AAC, SBC, L2HC | AAC, SBC | LHDC, AAC, SBC |
Android, iOS, HarmonyOS, Windows 10 | Android, iOS, MacOS, Windows 10 | Android, iOS, MacOS, Windows 10 |
Pembantu Maya Ya | Pembantu Maya Ya | Pembantu Maya Ya |
IPX4 | IPX4 | IP54 |
Pada Sesentuh Ya / 2X | Pad Sesentuh Ya / 2X | Pad Sesentuh Ya / 2X |
Bluetooth 5.2 | Bluetooth 5.0 | Bluetooth 5.2 |
Harga RM599 | Harga RM549 | Harga RM699 |
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, FreeBuds 4 memiliki prestasi yang sederhana sahaja. Seperti yang kami katakan, sokongan untuk ANC itu masih ada. Tetapi, disebabkan reka bentuknya yang terbuka, maka ia tidak sepenuhnya mampu untuk menapis bunyi luar ke tahap yang memuaskan. Perkara ini mungkin agak mengecewakan bagi sebuah fon telinga yang dijual dengan tanda harga RM599.

Bagaimanapun jika dilihat secara positif, ia sebenarnya masih mempunyai elemen-elemen yang akan membuatkan anda mengaguminya. Misalnya, binaan padanya yang cukup berkualiti tinggi dan premium. Kemudian, ia juga mampu sahaja memberi keselesaan yang berpanjangan tanpa menimbulkan kesakitan pada telinga. Seperkara lagi, ia juga mempunyai penarafan IPX4 yang membenarkan anda untuk membawanya bersenam.
Seterusnya, pengalaman penggunaan juga akan bertambah baik buat anda yang sememangnya berada di bawah ekosistem Huawei. Di mana, ia akan memberikan pengalaman penggunaan lebih menyeluruh dengan sokongan tambatan pantas. Bagi yang berminat, anda boleh mendapatkannya menerusi beberapa saluran berbeza seperti kedai atas talian Huawei, Lazada, Shopee dan Senheng.
Pro:
- Kualiti binaan yang premium & selesa untuk penggunaan panjang.
- Kawalan sentuhan yang baik.
- Sambungan dua peranti secara serentak memudahkan proses komunikasi.
- Penggunaan meluas, di mana turut menyokong pada peranti lain yang menjalankan sistem Android, iOS dan Windows 10 dan MacOS
Kontra:
- Sesuatu yang sangat klise bilamana rekaan mirip dengan Apple Airpods.
- Prestasi ANC yang kurang memuaskan.
- Prestasi bateri yang sederhana.
