Kalau dulu Pocophone hanya ada satu peranti dan ianya 100% tersendiri serta unik. Ia berjaya mencipta komuniti besar, mengumpul peminat tegar serta masih kekal menawarkan peranti dengan spesifikasi sama seakan pesaing pada harga jauh lebih murah. Selepas kejayaan ini, Poco terus menjadi sebuah jenama atau sub-jenama biasa yang melancarkan lebih daripada satu peranti setahun.

Sehinggakan satu model menjadi siri, contohnya Poco X3. Bermula dengan satu model, kemudian hadir dengan variasi Pro dan terkini yang baru sahaja dilancarkan di Malaysia adalah Poco X3 GT pula. Biasanya nama “GT” memfokuskan permua dan prestasi tinggi. Tetapi adalah peranti ini mampu menawarkan prestasi yang memuaskan? Ini adalah artikel ulasan, selepas beberapa minggu menjadikan Poco X3 GT sebagai peranti harian.
Spesifikasi Dan Rekaan
Poco X3 GT | |
---|---|
Skrin | 6.6″ IPS LCD, 1080 x 2400, FHD+, 120Hz Adaptif, HDR10 Gorilla Glass Victus |
Pemproses | Dimensity 1100 5G (6nm) |
Cip | 4 x 2.6 GHz Cortex-A78 4 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G77 MC9 |
RAM | 6+2/8+2 GB LPDDR4X (2GB Maya) |
Muatan Dalaman | 128/256 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 64+8+2 Megapixel f/1.79+f/2.2+f/2.4 Mod malam, Kamera AI |
Kamera Swafoto | 16 Megapixel f/2.0, Mod kecantikan AI |
Bateri | 5000mAh Pengecasan berwayar 67W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari di sisi |
Harga Jualan | RM1,299/RM1,599 |
Poco X3 GT adalah Redmi Note 10 Pro versi China yang dilabel semula sahaja. Jadi spesifikasi adalah lebih kurang sama. Skrin yang digunakan adalah 6.6-inci panel IPS LCD beresolusi 1080 x 2400 FHD+, menyokong kadar segar semula adaptif 120Hz, mampu memaparkan format HDR10 dan menggunakan perlindungan Corning Gorilla Glass Victus yang sama pada peranti mercu ribuan ringgit. Peranti ini juga adalah yang pertama di Malaysia dengan cip Dimensity 1100 5G berasaskan 6nm dengan GPU Mali-G77 MC9.

Memori adalah sehingga 8GB RAM dengan tambahan 2GB RAM secara maya dan storan dalaman UFS 3.1 mencapai 256GB. Kamera juga agak hebat dengan sistem tri-kamera 64+8+2 Megapixel, bersama dengan kamera swafoto 16 Megapixel. Jika itu tidak cukup ciri sesebuah peranti mercu, Poco X3 GT ini dilengkapi dengan bateri 5000mAh dengan pengecasan pantas Power Delivery 67W.
Ia juga ada NFC, pembesar suara stereo dengan Dolby Atmos, sistem sekuriti imbasan cap jari di sisi serta menjalankan MIUI 12.5 dengan pelancar MIUI for Poco.

Rekaan Poco X3 GT mirip dengan kebanyakan Redmi Note 10. Tetapi disebabkan variasi Redmi yang dilabel itu tidak memasuki pasaran Malaysia, boleh dikatakan ia mempunyai secubit keunikan. Binaan rasa lebih kukuh, ia kelihatan lebih premium, mempunyai cengkaman lebih baik dan ada corak seakan bintang bergemerlapan di waktu malam.

Kerangka yang ada kemasan kusam, sisi kanan yang ada butang kuasa merangkap pengimbas cap jari serta butang aras suara, siri kiri yang hanya ada slot kad SIM, bawah yang ada kekisi pembesar suara, lubang mikrofon dan lubang USB-C. Di atas masih dikekalkan sensor infra merah, ada lagi lubang mikrofon dan kekisi pembesar suara. Modul kamera di belakang agak besar berbanding model Poco mampu milik lain dan skrin hadapan walaupun ada kaca Victus – identiti peranti mampu milik dengan dagu tebal itu tidak diubah.
Penggunaan Dan Perisian
Skrin Poco X3 GT ini adalah seakan Mi 10T, di mana ia adalah LCD dengan kadar segar semula tinggi, menyokong HDR serta sistem kecerahan automatik pintar yang mengikut keadaan sekeliling menggunakan sensor 360 darjah. Sepanjang dua minggu penggunaan, skrin peranti ini memberikan satu pengalaman penggunaan yang terbaik di antara semua peranti siri Poco X3. Warna adalah cantik, skrin cukup terang, menonton video juga adalah sangat memuaskan.
Dengan 120Hz adaptif, skrin peranti boleh berubah-ubah pada kadar segar semula terbaik mengikut penggunaan. Tetapi, disebabkan saya gemar untuk menggunakan sentiasa 120Hz – itu adalah tetapan yang digunakan sepanjang masa.

Peranti ini juga merupakan peranti Poco pertama yang keluar sahaja kotak, sudah menjalankan MIUI 12.5 dengan pelancar MIUI for Poco. Banyak ciri dan fungsi adalah sama dengan peranti Xiaomi dan Redmi lain yang menjalankan MIUI versi yang sama. Biasanya, Poco ada masalah dari segi ghost touch ketika mengecas, ada masalah prestasi yang tidak konsisten serta beberapa masalah lain yang menjengkelkan. Tetapi pada Poco X3 GT ini, boleh dikatakan hampir tiada semua masalah ini.

Isu paling serius yang ramai adu adalah sambungan rangkaian. Isu ini dukacitanya masih ada. WiFi kadangkala putus-putus, sekejap boleh disambungkan kepada WiFi 6, sekejap hanya WiFi biasa dan kadangkala ia tidak dapat mengesan Hostspot yang saya aktifkan. Data mudah alih juga begitu, jika peranti Android lain menunjukkan 4G+ atau VoLTE dengan bar penuh atau kurang satu – peranti ini mempunyai satu bar sahaja dan kadangkala separuh. Kelajuan Internet juga tidak konsisten, walaupun WiFi dan kad SIM sama digunakan pada peranti lain.

Prestasi peranti ini adalah menakjubkan. Ini adalah kerana ia menyokong penambahan RAM maya sebanyak 2GB, menjadikan RAM peranti ini adalah 10GB. Pada awal saya sangkakan ia hanyalah gimik. Tetapi ia benar-benar memainkan peranan dalam prestasi. Memori lebih tinggi bermakna pengurusannya adalah lebih cekap.

Saya masih kecewa dengan MIUI 12.5 versi global, kerana Xiaomi yang tidak berpegang pada janji mereka dan seakan menipu terus semua pengguna. MIUI 12.5 versi global masih ada banyak aplikasi gendut, sedangkan di China MIUI 12.5 sudah semakin suci. Bukan itu sahaja, banyak ciri eksklusif MIUI 12.5 yang menarik terhad di China sahaja dan tiada pada versi global.
Disebabkan Poco masih Poco, MIUI mereka juga lebih kurang sama – tiada ciri unik selain daripada penambahan RAM tadi.
Permua Dan Penanda Aras
Cip MediaTek Dimensity 1100 5G, bukan calang-calang cipnya. Di China, Xiaomi mendakwa Redmi Note 10 Pro 5G mereka mampu mencapai skor AnTuTu 690k. Saya boleh sahkan dakwaan ini, kerana tanpa aksesori kipas penyejuk – variasi 8/256 GB yang saya uji ini mampu mencapai skor hampir 600k. Dalam ujian yang saya lakukan, permua seperti Asphalt 9 pada tetapan High adalah memuaskan. Beberapa sesi permainan, peranti masih tidak panas dan selepas tamat, apabila kembali ke skrin utama – peranti juga tidak lengah masa.

PUBG Mobile, sayang sekali tidak menyokong tetapan Ultra HD. Hanya ada tetapan HDR dan Ultra sahaja. Tetapan yang cukup baik ini dilihat boleh berjalan dengan lancar.
Pada ujian aplikasi penanda aras, AnTuTu dan Geekbench serta Don’t Kill My App – peranti juga tidak memanas selepas diuji. Sistem penyejukan dan bahan binaan peranti ternyata membantu seperti yang dikatakan Xiaomi. AnTuTu mencatatkan skor 573584, Geekbench pula 752/2760 untuk satu teras dan multi-teras dan akhir sekali untuk pengurusan memori Don’t Kill My App – tiada masalah untuk menerima 100%.

Audio
Poco X3 GT menggunakan sistem pembesar suara stereo yang dikuasakan oleh Dolby Atmos. Untuk sebuah peranti yang dianggarkan akan dijual pada harga sekitar RM1000 untuk model permulaan – kualiti audio adalah yang terbaik pernah saya dengar. Saya menggunakan Tidal dengan kualiti penstriman Master, peranti ini mampu melontarkan audio yang memuaskan, enak, dan cukup untuk membuatkan saya sendiri teruja.

Pada tetapan audio, ada pilihan Mi Sound untuk aktifkan audio HiFi. Walaupun saya sudah sambungkan DAC/AMP bersama dengan IEM, HiFi pada peranti ini dan MIUI 12.5 dilihat mungkin untuk aksesori audio Hi-Fi Xiaomi sahaja – kerana ia tidak aktif dengan aksesori audio saya. Ciri Dolby Atmos pula apabila diaktifkan dan strim muzik pada Apple Music yang sedia menyokong penstriman pada kualiti ini juga sungguh mengasyikkan. Tidal Master fokus kepada kelantangan, Apple Music HiFi Dolby Atmos pula fokus kepada keenakan dan keseimbangan.
Telefoni Dan GPS
Di China, abang kepada peranti ini iaitu Redmi note 10 Pro 5G menjanjikan kualiti panggilan suara yang lebih baik, sambungan data yang lebih pantas serta penggunaan keseluruhan telefoni yang bertaraf peranti mercu. Sayang sekali pada Poco X3 GT, data mudah alih tidak begitu stabil. Begitu juga dengan WiFi. Jika di China tiada isu ini dan hanya di pasaran global – bermakna MIUI versi global bermasalah.
GPS dilihat berfungsi dengan baik. Arahan selok-belok adalah pantas, mengunci lokasi juga sekelip mata dan penggunaan adalah memuaskan.
Kamera
Tidak semua bahagian peranti ini adalah bagus. Untuk menjual pada harga yang mampu milik, ada pengorbanan yang harus dilakukan. Kamera adalah di antaranya. Tetapi, tidak bermakna kualiti kamera peranti ini tidak bagus. Cuma haruslah Poco bersifat adil untuk kualiti kamera pada harga jualannya. Jika setaraf Mi 11 atau MI 11 Ultra, lebih baik beli Poco. Sistem tri-kamera 64+8+2 Megapixel ini adalah baik-baik sahaja.

Masih sama dengan Mi 11 Lite dan beberapa peranti MIUI lain, di mana kecerdasan buatan kamera tidak konsisten dan tidak cukup bijak. Haiwan dikatakan manusia, kadangkala langsung tidak dikesan. Untuk kamera swafoto, walaupun hasilnya dilihat ada sedikit penambahbaikan – ia masih lagi sedikit lembut. Mod potret sekali pandang dilihat kemas, tetapi apabila dizum, keliling akan ada sedikit kesan yang tidak menyenangkan.

Kamera utama pula dilihat agak baik dalam pasca-proses dan autofokus. Pelbagai situasi gambar diambil seperti waktu senja, manusia, haiwan, jarak dekat dan banyak lagi – akan memberikan hasil yang memberangsangkan jika “AI” pada kamera dimatikan. Saya hanya hidupkan HDR sahaja. Butiran dilihat dapat dipelihara dengan baik, warna juga kelihatan cukup hidup dan menyerlah.
Mod lain seperti makro dan zum adalah antara yang saya kurang gemar. Makro seakan gimik, sukar untuk fokus dan tidak boleh ambil pada jarak yang begitu dekat. Jika dapat, ianya baik – tetapi perlu cuba berkali-kali. Zum pula, pada mod auto hanya menyokong sehingga 10x digital. Untuk kualiti yang lebih baik, saya gunakan mod 64MP dan pangkas sebanyak sekitar 80% – ia masih mempunyai hasil yang memuaskan.



Mod malam bukanlah yang terbaik. Boleh dikatakan, kebanyakan peranti kelas pertengahan atau yang berada dalam lingkungan harga sama akan mempunyai kualiti yang bolehlah. Pada Poco X3 GT ini, mod malam dilihat hanya boleh diterima pada mod 1x dan ia meningkatkan nilai warna biru lebih tinggi dan melalui pasca-proses melembutkan hasil imej untuk kurangkan hingar.

Bateri

Saya menggunakan tetapan yang paling ekstrem seperti biasa. Sentiasa 120Hz, semua tetapan rangkaian aktif, kecerahan pada tahap maksimum, dan menjalankan banyak aplikasi di latar. Untuk bateri 5000mAh pada peranti ini, penggunaan seperti ini boleh mencecah melebihi 6 jam SOT tanpa sebarang masalah. Penggunaan ringan dengan tetapan yang sama pula boleh mencecah sehingga 9 jam SOT.

Ini bermakna, jika menggunakan 120Hz adaptif, kurangkan penggunaan rangkaian dan banyak bergantung kepada cadangan sistem untuk menjimatkan bateri – saya yakin peranti ini tiada masalah untuk mencapai sehingga lebih 10 jam SOT penggunaan ringan atau 6-8 jam penggunaan ekstrem. Dengan pengecasan pantas 67W melalui sistem Power Delivery, Xiaomi mendakwa ia boleh dicas daripada 0% – 100% dalam masa 42 minit sahaja dan saya dapat sahkan dakwaan ini benar.
Pesaing
Poco X3 GT | OnePlus Nord 2 | Vivo S10 |
6.6″ IPS LCD, 1080 x 2400, FHD+, HDR10, 120Hz (~399 ppi) Corning Gorilla Glass Victus | 6.43″ Fluid AMOLED, 1080 x 2400, FHD+, HDR10+, 90Hz (~409 ppi) Corning Gorilla Glass 5 | 6.44″ AMOLED, 1080 x 2400, FHD+, HDR10+, 90Hz (~409 ppi) |
Dimensity 1100 5G (6nm) 4 x 2.6 GHz Cortex-A78 4 x 2.0 GHz Cortex-A55 | Dimensity 1200-AI (6nm) 1 x 3.0 GHz Cortex-A78 3 x 2.6 GHz Cortex-A78 4 x 2.0 GHz Cortex-A55 | Dimensity 1100 5G (6nm) 4 x 2.6 GHz Cortex-A78 4 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Mali-G77 MC9 | Mali-G77 MC9 | Mali-G77 MC9 |
6/8 GB LPDRR4X 2GB RAM Maya | 6/8/12 GB LPDDR4X | 8/12 GB LPDDR4X |
128/256 GB UFS 3.1 | 128/256 GB UFS 3.1 | 128/256 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama 64+8+2 Megapixel f/1.79+f/2.2+f/2.4 | Kamera Utama 50+8+2 Megapixel f/1.88+f/2.25+f/2.4 | Kamera Utama 64+8+2 Megapixel f/1.88+f/2.2+f/2.4 |
Kamera Hadapan 16 Megapixel f/2.5 | Kamera Hadapan 32 Megapixel f/2.45 | Kamera Hadapan 44+8 Megapixel f/2.0+f/2.28 |
IP53 | Tidak kalis air | Tidak kalis air |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Stereo Dolby Atmos | Stereo | Mono |
5000mAh (Berwayar 67W) | 4500mAh (Berwayar 65W) | 4050mAh (Berwayar 44W) |
Bermula sekitar ~RM1040 | Bermula sekitar ~RM1592 | Bermula sekitar ~RM1951 |
Kesimpulan
Cip Dimensity 1100 5G daripada MediaTek ini ternyata berkuasa. Ia bersaing sengit dengan Snapdragon 865/865+/870, dengan kuasa sedikit rendah berbanding Dimensity 1200 – tetapi GPU adalah sama. Selain daripada peranti mercu Poco, ini adalah antara peranti Poco terbaik yang pernah saya gunakan. Skrin yang lancar dan cantik, prestasi yang pantas dan memuaskan, pembesar suara yang enak, kamerra yang cukup baik untuk peranti kelas pertengahan premium Poco dan juga ketahanan bateri yang berpanjangan.
Dengan peranti lain sedang berlumba-lumba menawarkan pelbagai peranti mercu dalam tahun yang sama. Poco dengan tenang menawarkan pelbagai peranti kelas pertengahan dan permulaan – sambil dengan senyap memperkenalkan versi GT untuk berlawan dengan peranti berkuasa lain.

Dengan kehadiran GT di Malaysia tidak lama lagi, ia adalah titik permulaan sebelum Poco melancarkan peranti gaming mereka untuk pasaran tempatan seperti Poco F3 GT. Jika anda ingin cari sebuah peranti Poco yang cukup seimbang dan mampu milik, ini adalah peranti anda. Tetapi jika anda sudah memiliki Poco F3, ini bukan untuk anda.
Pro
- Binaan yang lebih nipis, premium dan kukuh.
- Prestasi Dimensity 1100 5G yang bersaing dengan cip peranti mercu.
- Skrin 120Hz yang lancar dan pantas.
- Pembesar suara yang enak dan memuaskan.
- Kemaskini sehingga tiga tahun
- Pengecasan pantas 67W dan bateri tahan lama.
- Memori boleh tambah 2GB RAM.
Kontra
- Skrin masih ada dagu tebal.
- Kecerdasan buatan pada kamera menjadikan hasil gambar tidak seimbang.
- MIUI 12.5 versi global kekurangan banyak ciri menarik berbanding versi China.
- Data mudah alih dan WiFi yang ada masalah tidak stabil.
- Rekaan yang bosan, kerana kitar semula siri Redmi sahaja.
