Pagi ini Nokia XR20 dilancarkan sebagai peranti tahan lasak yang melepasi piawaian ketenteraan. Selain itu dua lagi peranti Nokia C30 dan Nokia 65310 turut dilancarkan serentak tetapi menyasarkan segmen pasaran yang berbeza.

Nokia C30 ialah peranti kelas permulaan dengan skrin 6.82″ IS LCD HD+, dijana cip lapan teras Unisoc SC9863A, memori sehingga 3GB RAM, storan sehingga 64GB, kamera utama 13+2 MP, kamera hadapan 5MP dan bateri sebesar 6000 mAh. Walaupun bateri yang disertakan adalah bersaiz besar, ia sekadar menyokong pengecasan 10W sahaja yang adalah amat perlahan.
Selain itu ia juga masih menggunakan port mikro USB dan mengekalkan bicu audio 3.5mm. Mengekalkan tema retro, pengimbas cap jari fizikal diletakkan pada panel belakang bersama dengan sokongan nyahkunci menggunakan wajah. Sistem operasi yang digunakan pula adalah Android 11 Go Edition.

Seterusnya ialah Nokia 6310 yang sekadar sebuah telefon selular biasa dengan sistem operasi Series 30+. Skrin 2.8″ dipadankan dengan pemproses Unisoc 6531F, memori sebesar 8MB, storan sebesar 16MB , kamera 0.3MP dan bateri sebesar 1150 mAh yang membolehkan peranti beroperasi sehingga seminggu.
Terdapat sokongan storan tambahan sehingga 32GB menggunakan kad mikro SD, bicu audio 3.5mm dan lampu suluh secara terbina. Ciri klasik permainan klasik dan sokongan radio FM juga disertakan pada peranti ini.
Nokia C30 akan mula dijual hari ini pada harga bermula €99 (~RM494) sebuah manakala Nokia 6310 pula dijual pada harga €40 (~RM199) sebuah.