Facebook Menubuhkan Pasukan Baharu Untuk Pembangunan Produk Alam-Meta

Diterbitkan pada July 27, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Facebook telah lama melakukan pelaburan dalam dunia realiti maya dengan pengambilalihan Oculus sebelum mengembangkannya lagi untuk turut merangkumi dunia realiti gabungan akhir-akhir ini. Tetapi pelan jangka panjang Facebook ialah menghasilkan alam-meta (meta-verse) yang dilihat sebagai evolusi seterusnya dunia Internet untuk menggantikan penggunaan telefon mudah alih.

Pagi ini Andrew Bosworth, timbalan presiden Facebook Reality Labs mengumumkan penubuhan pasukan baharu khusus untuk pembangunan produk alam-meta mereka. Ia akan diketuai oleh Vishal Shah yang merupakan timbalan presiden produk di Instagram dan Vivek Sharma, timbalan presiden Facebook Gaming.

Dua tahun yang lalu Facebook Horizon diumumkan sebagai dunia maya seakan dunia OASIS dari filem Ready Player One. Pengguna akan hidup di dalam alam-meta ini menerusi peranti realiti maya. Mereka boleh mengakses kesemua produk Facebook dan pihak ketiga secara setempat di dalam alam-meta.

Mark Zuckerberg percaya interaksi di dalam alam-meta adalah evolusi seterusnya dunia Internet dan telah membelanjakan berbilion Dollar untuk merealisasikannya lebih awal dari pesaing. Pengguna Horizon akan diwakili dengan avatar 3D yang boleh dikustomasi dan berinteraksi di dalam dunia ini seperti di dunia sebenar.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami