Cari @ Amanz

Hackathon maya Can You Hack It kembali lagi. Tahun ini, acara di bawah kelolaan Hong Leong Bank Malaysia tersebut diteruskan lagi menerusi kerjasama beberapa pihak seperti JomHack, Google Cloud, Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan E-waste Recycling Through Heroes (ERTH).

Acara diadakan bertujuan untuk meneroka dan mengenal pasti penyelesaian baharu dalam industri perbankan yang memberi tumpuan kepada matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Korporat (ESG). Apa yang menariknya lagi, pendekatan yang digunakan sedikit berbeza berbanding sebelumnya kerana acara diketengahkan ke peringkat serantau. Melaluinya, ia turut mendapat kerjasama rakan-rakan negara lain termasuk Vietnam, Kemboja dan Singapura.

Acara terbuka kepada mana-mana individidu dari semua 10 negara ASEAN tanpa mengira kewarganegaraan atau bidang pekerjaan. Apa yang penting, peserta haruslah mempunyai PR atau permit kerja yang sah. Mana-mana peserta terpilih kelak akan diberikan tempoh masa 48 jam untuk menyelesaikan cabaran yang diberikan. Hasil projek perlu dipersembahkan dalam bentuk video dengan format MP4 berdurasi kurang daripada 5 minit. Kemudian, mana-mana 10 finalis yang berjaya disenarai pendek akan mara ke peringkat peringkat akhir pada 11 September 2021.

Pemenang akan menerima hadiah menarik berupa wang tunai berjumlah USD 5,000 (~RM21,150) untuk tempat pertama, USD 2,500 (~RM10,575) untuk tempat kedua, USD 1,000 (~RM4,230) untuk tempat ketiga dan USD350 (~RM1,481) untuk tempat keempat hingga kesepeluh. Selain hadiah, acara ini turut bantu membuka peluang pekerjaan yang luas kepada para peserta untuk mewujudkan penyelesaian perniagaan baru dalam industri perbankan.

Bagi yang berminat, pendaftaran untuk hackathon maya Can You Hack It: ASEAN Edition 2021 telah dibuka sehingga 31 Ogos 2021. Untuk maklumat lanjut, sila layari pautan yang disediakan di bawah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd