Cari @ Amanz

Samsung Memperkenalkan Paparan Gaming Odyssey Neo G9 – Paparan Gaming Super Ultralebar Pada Saiz 49 Inci

Oleh Nazrin

Link Copied!

Di Malaysia, Samsung mungkin paling dikenali sebagai syarikat pembuat peranti dan televisyen pintar, tetapi seperti yang selalu kami laporkan sebelum ini juga, syarikat teknologi Korea Selatan tersebut juga telah memperlihatkan pelbagai aksesori dan kelengkapan elektronik yang lain juga.

Diantaranya ialah siri paparan skrin komputer gaming berjenama Samsung Odyssey yang lazimnya dibeli oleh golongan gamer kelas bangsawan khususnya kerana kepelbagaian fungsi dan ciri-ciri yang terbina didalamnya. Terkini, Samsung telah memperlihatkan sebuah lagi paparan gaming baru yang dinamakan Samsung Odyssey Neo G9, sebuah paparan gaming super ultralebar yang boleh menggantikan penggunaan multi-paparan seorang pengguna.

Samsung Odyssey Neo G9 ialah sebuah paparan gaming super ultralebar bersaiz 49 inci dengan resolusi DQHD (5,120×1,440) dan nisbah paparan 32:9 yang menggunakan paparan Quantum Mini LED melengkung yang mempunyai nilai lengkungan 1000R, yang merupakan paparan skrin komputer pertama Samsung yang menggunakan teknologi ini.

Paparan Odyssey Neo G9 ini hadir dengan 2048 zon malap dan nilai kecerahan 2000nit yang bermakna ia juga hadir dengan sokongan untuk teknologi Quantum HDR 2000. Ia menjanjikan pengalaman gaming dan juga tontonan video yang sangat mendalam bukan sahaja dari segi resolusi tetapi juga olahan warna.

Dengan kehadiran palam-palam HDMI 2.1 dan juga DisplayPort 1.4, paparan Samsung Odyssey Neo G9 ini juga menyokong teknologi paparan AMD FreeSync Premium Pro dan NVIDIA G-SYNC Premium yang menjanjikan pengalaman gaming yang terbaik dari segi olahan grafik dan warna juga.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh memaksimakan kemampuan konsol-konsol gaming terbaru Sony PlayStation 5 dan Xbox Series X yang terbaru pada resolusi 4K dan kadar segar semula 120Hz.

Samsung mengatakan bahawa pra-tempahan paparan Samsung Odyssey Neo G9 ini akan dibuka untuk pasaran terpilih bermula 29 Julai ini, tetapi jualan rasmi secara global akan dibuka bermula 9 Ogos 2021 kelak.

Sumber: Samsung


Komen ()