Cari @ Amanz

Oppo Watch 2 Rasmi Di China – Gabungan Cip Snapdragon Wear 4100 Dan Apollo 4s, Bateri 16 Hari

Link Copied!

Oppo Watch 2 telah dilancarkan secara rasmi dalam sebuah acara pelancaran di China, hari ini. Ia merupakan pengganti kepada Oppo Watch yang dilancarkan tahun lalu, sekaligus memperluaskan lagi penawaran rangkaian peranti boleh pakai jenama berkenaan. Secara keseluruhan, Oppo Watch 2 boleh didapati dalam dua pilihan model iaitu : 42mm dengan skrin bersaiz 1.75-inci, dan model 46mm pula dilengkapi skrin sebesar 1.9-inci.

Kedua-duanya juga masih menampilkan reka bentuk yang sama seperti generasi sebelumnya dengan menggunakan muka jam berbentuk segi empat seumpama Apple Watch. Paparannya di sini menggunakan panel berasaskan 3D AMOLED untuk kedua-dua model bersama rekaan melengkung ditepi.

Seterusnya, Oppo Watch 2 menjalankan perisian ColorOS 2.0 for Watch berasaskan Android 8.1 Oreo – tetapi versi global dijangka menjalankan WearOS seperti biasa. Selain itu, ia turut dilengkapi cip Snapdragon Wear 4100 dan Ambiq Apollo 4s. Untuk memori, ia dibekalkan dengan 1GB RAM dan storan 8GB.

Untuk baterinya, model 46mm menyokong bateri sebesar 510mAh yang mampu bertahan sehingga 16 hari. Manakala, model 42mm pula sebesar 360mAh dengan ketahanan mencapai 10 hari. Ia turut menyokong teknologi Ultra Dynamic Dual Engine (UDDE) yang mana menurut OPPO membantu dalam memanjangkan hayat bateri.

Kemudian, Oppo Watch 2 turut menampilkan ciri penjejakan kecergasan dan kesihatan seperti seperti pemantauan jantung, pemantauan kualiti tidur dengan penilaian dengkur, pemantauan oksigen darah SpO2, pemantauan tekanan dan banyak lagi. Bersama-sama dengannya, ia juga menyokong sehingga 100 mod sukan berbeza termasuk – berbasikal, larian, berjalan, berenang dan banyak lagi.

Lain-lain spesifikasi termasuklah – sokongan kalis air sehingga 5ATM, NFC, eSIM, GPS, pengecasan pantas VOOC 2.0, bluetooth 5.0 dan banyak lagi. Di China, Oppo Watch 2 (46mm) dijual pada RMB1,999 (~RM1,300). Manakalan, Oppo Watch 2 (42mm) (e-SIM) pula masing-masing berharga RMB1,499 (~RM975) dan RMB1,299 (~RM845) (tanpa eSIM).


Komen ()