Cari @ Amanz

Selepas beberapa bulan diacah dengan imej konsep dan bekas simpanan lutsinar, fon telinga nirwayar Nothing Ear (1) dilancarkan sebentar tadi. Fon telinga ini memenuhi janji akan diperbuat daripada bahan lutsinar yang tidak pernah dilakukan oleh pengeluar aksesori audio lain sebelum ini.

Fon telinga adalah dari jenis dalam telinga dengan putik silikon bagi menghasilkan sambungan ke telinga yang kedap. Sokongan pembatalan hingar aktif (ANC) disertakan sekali mengikut keperluan kesemua fon telinga premium semasa. Nothing menyeratakan pemacu audio sebesar 11.6 mm untuk menawarkan audio yang terang dan bass yang lantang.

Walaupun begitu tidak kesemua tubuh fon telinga ini adalah lutsinar seperti dijanjikan. Hanya bahagian tangkap telus cahaya menujukan komponen dalaman dengan putik silikon pula berwarna putih.

Pada bahagian tangkai terdapat pad sesentuh untuk melakukan kawalan gestur. Ia melepasi piawaian IPX4 yang membolehkannya kalis peluh dan sesuai digunakan untuk sesi bersukan. ANC boleh dimatikan dan digantikan pula dengan mod transparensi jika perlu.

Dari segi ketahanan bateri pula, putik audio boleh beroperasi selama 4.5 jam dengan ANC dan sehingga 24 jam dengan bantuan pod pengecas merangkap pod simpanan. Tanpa ANC masa penggunaan boleh melangkau 30 jam. Pengecasan boleh dilakukan secara berwayar menggunakan port USB-C dan nirwayar Qi. Nothing Ear (1) akan dijual pada harga $99 sepasang di peringkat global bermula 17 Ogos hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd