Perkhidmatan teksi terbang akan mula diperkenalkan dalam masa terdekat dengan Malaysia sendiri telah memulakan kajian melihat sama ada perkhidmatan ini boleh ditawarkan dari Lapangan Terbang Subang. Isu utama kenderaan terbang ialah jarak operasinya yang terhad. Tetapi kenderaan terbang eVTOL Joby Aero kini memegang rekod penerbangan elektrik sepenuhnya paling jauh pernah dicatatkan.
Dalam ujian yang dilakukan di ibu pejabat mereka di Big Sur, California – pesawat melakukan penerbangan sejauh 249 km dalam masa 77-minit. Ia melakukan 11 pusingan lengkap dan jarak penerbangan ini adalah lebih jauh dari anggaran kemampuan asal 241 km yang dijanjikan syarikat apabila memulakan operasi.

Kenderaan eVTOL Joby menggunakan bateri litium yang mempunyai hayat dicas sehingga 10,000 kali. Sepanjang ujian ini pesawat dikawal dari jarak jauh tanpa sebarang penumpang. Syarikat menyasarkan operasi eVTOL mereka akan dimulakan seawal 2024 dengan kemampuan membawa empat penumpang pada kelajuan maksimum 322 km/j.