Huawei P50 akan dilancarkan hari ini di China tetapi beberapa jam sebelum acara berlangsung rekaan peranti serta sebahagian spesifikasi telah tertiris. Seperti biasa maklumat ditiriskan oleh @evleaks sebentar tadi. Dari segi rekaan peranti mempunyai rekaan yang mirip dengan Honor 50 cuma dengan konfigurasi kamera yang berbeza.

Pada bahagian belakang kuad-kamera digunakan dan diletakkan dalam dua bonggol besar berbentuk bulat. Pada Honor 50 hanya tri-kamera digunakan. Bonggol paling atas mengandungi tiga lensa kamera dan bonggol bawah diletakkan lensa telefoto dengan sistem periskop serta sebuah flash. Sebuah lagi flash diletakkan di luar bonggol kamera. Terdapat satu lubang pada bonggol sekunder yang mungkin adalah sensor 3D ToF.
Turut ditiriskan ialah rekaan rangka unik dengan sistem lampu swafoto berbentuk bujur. Apabila tidak digunakan ia dilipat ke belakang dan mengelilingi bonggol kamera peranti. Kerangka bercorak, silikon dan folio juga turut dihasilkan.

Tubuh peranti mempunyai bingkai yang dibulatkan mengingatkan kami kepada rekaan iPhone 11. Nampak cukup cantik dan pastinya selesa di dalam tangan. Pada bahagian hadapan skrin besar dengan bezel nipis pada keempat-empat sisi digunakan. Sebuah kamera swafoto diletakkan dalam lubang kamera. Huawei masih belum bersedia untuk berhijrah ke teknologi kamera bawah skrin lagi. Skrin yang digunakan juga melengkung pada bahagian sisi seperti P40 tahun lalu.

Kesemua butang laras suara dan kuasa diletakkan pada sisi kanan peranti. Peranti ditawarkan dalam warna menarik seperti hitam, putih, emas dan merah jambu. Imej pengolokan rasmi turut mendedahkan peranti mempunyai kemampuan kalis air dan bateri sebesar 4360 mAh.
Sistem operasi yang digunakan pastinya HarmonyOS. Spesifikasi lengkap akan diketahui beberapa jam sahaja lagi. Adakah rekaan ini menarik minat anda kerana siri Huawei P50 telah disahkan akan dijual ke pasaran global.