Cari @ Amanz

Selepas ditangguhkan sejak April, hari ini akhirnya Huawei P50 dan Huawei P50 Pro dilancarkan secara rasmi di China. Seperti beberapa maklumat serta imej yang telah tertiris sebelum ini, siri P50 mempunyai banyak persamaan dengan peranti siri Honor 50 yang dilancarkan hanya beberapa minggu yang lalu.

Luar sama tetapi dalam lain-lain. Huawei P50 Pro dilengkapi skrin 6.6″ AMOLED dengan resolusi QHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Skrin masih lagi melengkung pada bahagian sisi dengan sebuah lubang kamera pada bahagian tengah. Peranti dijana cip Snapdragon 888 atau Kirin 9000.

Ini dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 4360 mAh. Bateri boleh dicas semula secara berwayar dengan pengecas 66W dan nirwayar pula pada kuasa 50W. Aneh sekali sokongan pengecasan berbalik tiada kali ini.

Kamera utama sebesar 50MP f/1.8 dengan OIS, 64MP telefoto f/3.5 dengan OIS, 13MP ultra sudut lebar f/2.2 dan 40MP sensor hitam putih f/1.6. Sistem pemfokusan pula adalah menggunakan laser. Pada bahagian hadapan pula kamera 13MP digunakan. Sistem zum yang disertakan memberikan zum optikal hingga 3.5X dan zum digital sehingga 100X.

Huawei P50 pula dilengkapi skrin 6.5″ AMOLED dengan resolusi QHD+ dan kadar segar semula 90Hz. Skrin adalah rata dengan sebuah lubang kamera pada bahagian tengah. Peranti dijana cip Snapdragon 888 4G, dipadankan dengan memori 8GB RAM, storan sehingga 256GB dan bateri sebesar 4100 mAh. Bateri boleh dicas semula secara berwayar dengan pengecas 66W tanpa pengecasan nirwayar atau berbalik.

Kamera utama sebesar 50MP f/1.8, 12MP telefoto f/3.4 dengan OIS dan 13MP ultra sudut lebar f/2.2. Sistem pemfokusan juga adalah menggunakan laser. Pada bahagian hadapan pula kamera 13MP digunakan sekali lagi. Sistem zum yang disertakan memberikan zum optikal sehingga 5X dan zum digital sehingga 50X sahaja.

Kedua-dua peranti mempunyai kemampuan kalis air IP68 bersama dengan sistem audio stereo. Sistem operasi yang digunakan pula ialah HarmonyOS 2. Lebih mengejutkan ialah kedua-dua model Huawei P50 dan P50 Pro sekadar menyokng rangkaian 4G walaupun menggunakan cip Kirin 9000. Bagi sebuah syarikat pelopor teknologi 5G, ini adalah agak memalukan.

Huawei P50 akan dijual pada harga bermula dari RMB 4488 (~RM2988) untuk model 8/128GB manakala Huawei P50 Pro pula dijual pada haga bermula dari RMB 5899 (~RM3871) sebuah untuk model 8/128GB.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd