Realme sedia hadir dengan beberapa penawaran di bawah siri Realme 8. Ia termasuklah Realme 8, Realme 8 Pro dan Realme 8 5G. Namun begitu, hanya dua model sahaja yang ditawarkan di Malaysia iaitu Realme 8 Pro dan Realme 8 5G – yang mana masing-masing berharga RM1299 dan RM899.
Terkini, dua lagi telefon pintar Realme di bawah siri yang sama telah ditemui menerusi perkongsian 91 Mobiles dan Onleaks. Ianya dikenali sebagai Realme 8i dan Realme 8s. Namun begitu, tidak banyak informasi yang diketahui mengenai Realme 8i. Sebaliknya, hanya Realme 8s sahaja yang diperlihatkan reka bentuknya dalam beberapa imej pengolokan yang tular.

Difahamkan, Realme 8s kelak akan menyokong rangkaian 5G secara terbina. Ia juga akan menampilkan sokongan tiga kamera di belakang bersama sokongan pengimbas cap jari sisi yang terbina pada butang kuasa. Tiga kamera tersebut disusun dalam bentuk segi-empat sama dengan susunan 2X2 sama seperti yang boleh dilihat pada model siri Realme 8 yang lain.
Seterusnya, butang laras audio diletakkan pada sisi kiri. Manakala, port pengecasan USB-C, kekisi audio dan bicu audio 3.5mm dapat dilihat pada bahagian bawah peranti. Imej turut menunjukkan telefon pintar ini hadir dalam kemasan bewarna ungu, tetapi kita boleh menjangkakan akan terdapatnya beberapa lagi pilihan warna lain sewaktu pelancaran rasmi kelak.

Spekulasi awal mendakwa Realme 8s bakal menampilkan skrin 90Hz bersaiz 6.5-inci, cip MediaTek Dimensity 810, memori 8GB RAM dan menjalankan Android 11 berasaskan antaramuka Realme UI 2.0. Buat masa ini, belum ada sebarang informasi lanjut berkaitan tarikh pelancaran rasmi telefon pintar. Sama-sama kita nantikan perkembanga selanjutnya berkaitan perkara ini.