Jika anda sedang mencari sebuah komputer desktop gaming baru, Acer Malaysia hari ini mengumumkan bahawa mereka telah mengemaskini dua buah komputer desktop kelas gaming mereka, iaitu Predator Orion 3000 dan Acer Nitro 50 dengan komponen-komponen baru.
Bermula dengan Predator Orion 3000 yang baru, komputer desktop ini dikemaskini dengan siri cip pemprosesan Intel generasi ke-11 Tiger Lake dengan dua model berbeza. Pertama ialah penggunaan CPU Intel Core i7-11700F, memori DDR4 sebanyak 8GB dengan storan dalaman 1TB dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070.

Model kedua pula menggunakan CPU Intel Core i5-11400F, memori DDR4 sebanyak 8GB dengan storan SSD dalaman sebesar 512GB dan menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1660.
Komputer ini dilengkapi dengan sistem penyejukan FrostBlade terbaru yang menjanjikan pengaliran udara dan haba terbaik yang akan memastikan pengalaman gaming berada pada tahap yang paling optimum.
Beralih kepada Acer Nitro 50, komputer desktop ini pula hadir dengan pilihan CPU dan memori yang sama seperti Predator Orion 3000, dengan memori DDR4 sebesar 8GB dan pilihan storan SSD 256GB ataupun 512GB dan menggunakan kad grafik yang sama, iaitu NVIDIA GeForce GTX 1660.

Desktop Acer Nitro 50 juga hadir dengan fungsi pengecasan nirwayar Qi yang boleh digunakan untuk mengecas peranti pintar yang menyokongnya.
Kedua-dua desktop ini dilengkapi papan induk yang membolehkan pengguna untuk menaiktarafkan memori sehingga 64GB dan menukar storan SSD dalaman jika diperlukan. Ini membuatkan kedua-dua komputer desktop ini pilihan yang baik sekiranya anda mahukan sebuah komputer desktop sekarang yang boleh dinaiktarafkan komponen dengan mudah kemudian.
Acer akan mula menjual kedua-dua desktop ini bermula esok, pada 3 Ogos 2021 sewaktu acara Super Brand Sale. Tanda harga untuk komputer-komputer ini adalah seperti berikut:
- Predator Orion 3000 (Intel Core i5-11400F, NVIDIA GTX 1660) – RM3999
- Predator Orion 3000 (Intel Core i7-11700F, NVIDIA RTX 3070) – RM6899
- Acer Nitro 50 (Intel Core i5-11400F, NVIDIA GTX 1660) – RM3399
- Acer Nitro 50 (Intel Core i7-11700F, NVIDIA GTX 1660) – RM4899