Akses kepada Internet kini dianggap sebagai antara hak asasi manusia dengan Malaysia sendiri mula melihatnya sebagai sebahagian daripada utiliti. Tetapi masih terdapat kawasan yang tidak boleh mendapat perkhidmatan Internet kerana halangan geografi dan kos yang tinggi. Oleh itu perkhidmatan Internet menggunakan satelit dilihat sebagai penyelesaian kepada masalah ini.

Inmarsat akan menjadi sebuah lagi syarikat yang ingin menawarkan perkhidmatan Internet 5G menggunakan satelit. Sistem Inmarsat ORCHESTRA bercadang melancarkan sehingga 175 satelit ke angkasa bagi menawarkan perkhidmatan Internet di kawasan yang tidak boleh dicapai sebelum ini.
Sistem hibrid satelit dan menara pencawang ini dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2026. Ia menyasarkan penggunaan di kalangan industri maritim, aeronautik dan juga kawasan pedalaman. Dengan sokongan 5G tanpa halangan di seluruh permukaan bumi, Inmarsat juga melihat penggunaannya dalam industri kapal swalayar yang boleh beroperasi tanpa henti.