Cari @ Amanz

Selain daripada pengumuman siri komputer desktop gaming Predator Orion 3000 dan juga Acer Nitro 50, Acer Malaysia turut memperlihatkan dua paparan skrin gaming yang akan memasuki pasaran tempatan bersempena Acer Super Brand Day nanti.

Dua paparan ini ialah Predator X34 GS iaitu paparan bersaiz 34 inci dengan nisbah paparan ultralebar dengan resolusi 3440×1440 yang menggunakan panel IPS. Bagi mereka yang mementingkan kualiti gambar dan juga kejituan warna, paparan ini hadir dengan fungsi HDR400 dan juga sokongan gamut warna DCI-P3 98 peratus. Untuk tujuan gaming, ia juga menyokong teknologi paparan AMD FreeSync Premium Pro dan NVIDIA GSYNC.

Dari segi kadar segar semula pula, Predator X34 GS ini hadir dengan kadar segar semula 144Hz, yang boleh dilewahjam sehingga 180Hz bergantung kepada palam output video yang digunakan.

Paparan kedua yang diperlihatkan oleh Acer ialah Acer Nitro XV252Q F, paparan bersaiz 24.5 inci dengan resolusi Full HD yang menggunakan panel IPS. Ia juga hadir dengan sejumlah teknologi paparan seperti AMD FreeSync dan juga DisplayHDR 400 dan BlackBoost dengan sokongan gamut warna sRGB yang menjanjikan olahan warna hitam yang lebih baik.

Ciri utama paparan skrin Acer Nitro XV252Q F ini ialah ia mempunyai kadar segar semula 240Hz yang boleh dilewahjam sehingga 390Hz. Bagi mereka yang gemar bermain permainan seperti Counter-Strike: Global Offensive, Overwatch, Apex Legends dan sebagainya pasti akan dapat memanfaatkan kadar segar semula lebih tinggi untuk meningkatkan kebolehan mereka untuk menembak musuh dalam permainan dengan lebih tepat.

Sama seperti penawaran komputer riba yang diumumkan sebelum ini, Acer akan mula menjual Predator X34 GS dan Acer Nitro XV252Q F bersempena acara Acer Super Brand bermula 3 Ogos ini pada tanda-tanda harga berikut:

  • Predator X34 GS – RM3999
  • Acer Nitro XV252Q F – RM1999
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd