Thunderbolt ialah teknologi penghantaran data yang dibangunkan oleh Intel untuk bukan sahaja menghantar data dengan kadar kepantasan yang tinggi, tetapi juga untuk membolehkan pengguna untuk mengecas dan melanjutkan paparan menggunakan solusi satu kabel sahaja.
Dengan pelancaran cip pemprosesan Intel generasi ke-11 pada tahun ini, Intel memperlihatkan sambungan Thunderbolt 4 yang mempunyai kelajuan penghantaran data 3000MBps. Ia menggunakan antaramuka USB Type-C yang lazimnya kini antaramuka USB yang paling sering digunakan khususnya dengan komputer-komputer riba yang lebih moden.
Intel kini nampaknya sedang membangunkan teknologi Thunderbolt 5 yang sedang diuji di pusat penyelidikan mereka di Israel, yang mana ia dikatakan sedang memperlihatkan kadar penghantaran data sepantas 80Gb/s, jauh lebih pantas berbanding apa yang ditawarkan oleh Thunderbolt 4 sekarang.

Teknologi disebalik Thunderbolt 5 dikatakan menggunakan PAM-3 Pulse Amplitude Modulation, yang secara ringkasnya ialah teknologi modulasi amplitud baru yang membolehkan peningkatan kadar penghantaran data yang dikatakan 5 kali lebih pantas berbanding Thunderbolt 3 dan 4.
Apa yang lebih menarik lagi ialah Intel dikatakan menggunakan khidmat TSMC untuk membangun cip Thunderbolt 5 ini yang dibangunkan menggunakan proses N6 mereka. Setakat ini, Thunderbolt 5 dilaporkan masih lagi dalam proses ujian awal, dan tidak akan diperkenalkan untuk pengguna arus perdana untuk beberapa tahun lagi.
Sumber: Anandtech