Carian
Serba Dinamik Lancar MySurFi – Perkhidmatan Internet Berkelajuan-Tinggi Dikawasan Terpencil Melalui Pancaran Satelit
August 2, 2021 Aman

Serba Dinamik kini telah pun melancarkan sebuah perkhidmatan internet satelit tersendiri, dinamakan sebagai MySurFi. Melaluinya, ia menggunakan satelit untuk memancar perkhidmatan internet dikawasan-kawasan terpencil yang tiada sambungan jalur lebar.

Perkhidmatan ini dikendalikan oleh Serba Dinamik Group Bhd (SDGB) bersama-sama dengan syarikat Mosyawa Sdn Bhd. Buat masa ini, ia telah dilaksanakan di Melaka, Kelantan, dan kini telah pun diperkenalkan di Larut, Perak.

Melalui MySurFi di beberapa lokasi ini, ia membolehkan penduduk di sana menikmati sambungan internet percuma selama enam bulan – dibawah program khidmat masyarakat Serba Dinamik. Ini sekaligus akan meringankan beban pengguna ketika keperluan pembelajaran atau bekerja dari rumah disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Penduduk dikawasan MySurFi akan disediakan dengan nama pengguna dan kata laluan, dimana mereka boleh berhubung ke rangkaian berkenaan melalui sambungan WiFi. MySurFi menyokong peranti dengan sambungan internet 2.4Ghz atau WiFi 802.11 b/g/n.

Menariknya juga, Serba Dinamik dilihat akan mula melabur dalam arena infrastruktur yang berkaitan kesalinghubungan melalui teknologi satelit. Mereka kini dikatakan sedang dalam fasa kajian dan rekabetuk satelit telekomunikasi tersendiri dengan rakan strategik di seluruh dunia.

Komen