Carian
Google Memperlihatkan Pixel 6 Dan Pixel 6 Pro
August 3, 2021 Aman

Google hari ini membuat kejutan dan telah pun memperlihatkan telefon pintar terbaru mereka, Google Pixel 6 dan juga Google Pixel 6 Pro. Buat masa ini, maklumat penuh berkaitan dengannya tidak diketahui lagi, dan Google lebih menekankan kepada penggunaan cip pemprosesan tersendiri pada telefon pintar ini.

Kedua-dua peranti ini hadir dengan cip pemprosesan yang dibangunkan Google sendiri, dinamakan sebagai Tensor. Cip ini juga memfokuskan pemprosesan melibatkan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin terus pada peranti dengan efisien. Peranti ini juga hadir dengan sokongan cip Titan M2 untuk tujuan sekuriti.

Melalui maklumat yang dikongsikan, Google Pixel 6 hadir dengan skrin 6.4-inci FHD+ dengan kadar segar semula 90Hz. Sementara Google Pixel 6 Pro pula hadir dengan skrin 6.7-inci QHD+ dengan kadar segar semula 120Hz.

Pixel 6 Pro juga hadir dengan rekaan skrin melengkung sedikit pada bahagian tepi, berbanding dengan Pixel 6 yang hadir dengan skrin pipih sepenuhnya.

Pada masa yang sama, Google turut mengatakan Pixel 6 Pro hadir dengan 3 kamera bersama-sama dengan lensa telefoto yang menyokong zum optikal 4x. Pixel 6 pula hadir dengan penawaran kamera sama, tanpa sokongan telefoto.

Spesifikasi dan penawaran lain masih belum diumumkan lagi. Google dijangka akan melancarkan peranti ini sekitar September atau Oktober kelak.

Komen