Pixel 6 – Adakah Sudah Terlambat Untuk Google?

Diterbitkan pada Ogos 3, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Google secara mengejut meniriskan maklumat mengenai peranti Pixel mereka yang seterusnya pagi tadi. Mereka mengesahkan rekaan aneh yang tertiris sejak sebulan yang lalu adalah benar dan berkongsi sedikit sebanyak mengenai cip Google Tensor yang dibangunkan sendiri. Menurut beberapa media barat seperti The Verge dan MKBHD, menerusi Pixel 6 dan Pixel 6 Pro Google akan menjadi lebih serius dalam memasarkan telefon pintar mereka.

Antara yang bakal dilakukan ialah pengiklanan yang lebih baik berbanding peranti Pixel dan Nexus yang pernah dilancarkan. Mereka juga mengesahkan Pixel 6 dan 6 Pro adalah peranti mercu tanpa kompromi dengan harga yang juga tanpa kompromi. Secara keseluruhan media barat menyambut baik hala tuju baharu Pixel ini tetapi sebagai insan yang duduk di Malaysia yang hampir 14,000 km jauhnya dari Mountain View – adakah apa yang dilakukan oleh Google kini Sayang Semuanya Sudah Terlambat seperti lagu Shidee?

Saya rasakan ia sudah terlambat. Selepas lima tahun dilancarkan, Google Pixel masih tidak dijual secara rasmi di Malaysia. Kepada yang berminat mereka perlu membeli dari Singapura pada harga yang lebih premium. Tanya sahaja Fahim Zahar, beliau ialah antara manusia terawal di dunia dapat membeli Pixel 4 yang tertiris dua tahun lalu. Beliau membayar harga yang premium semata-mata untuk menghasilkan kandungan untuk Amanz sehingga tular di Reddit dan laman teknologi barat.

Semasa saya di Google I/O dua tahun yang lalu, saya sempat bertanya kepada wakil Google mengapa Pixel masih belum dipasarkan secara meluas? Jawapan mereka ialah kurangnya permintaan dan keperluan membina infrastruktur menyokong keperluan pasca pembelian. Agak kelakar jawapannya kerana majoriti pembeli Pixel di Singapura adalah dari Malaysia. Jadi mengapa pula Pixel dilancarkan Singapura yang merupakan kubu kuat iPhone sejak zaman berzaman?

Ketika zaman Google Nexus dahulu, peranti yang rosak boleh dihantar ke pusat servis Huawei, LG, Samsung atau Motorola. Walaupun dikilangkan oleh HTC pada awalnya, pengguna Pixel 1 tidak boleh menghantar peranti yang rosak ke pusat servis HTC di Malaysia (sebelum ia ditutup terus kerana HTC kini sudah menarik diri dari pasaran tempatan).

Pemilik Pixel terpaksa menghantar peranti ke Singapura dan menunggu lama semata-mata untuk menukar skrin. Memang boleh mendapatkan perkhidmatan tempatan tetapi jaminan yang terbatal. Sekiranya peranti dibayar pada harga tahap melelong ginjal, tak masuk anda akan menghantarnya ke pihak ketiga yang tidak boleh dijamin kualiti kerjanya. Tiada sebarang petanda setakat ini Google akan menjual Pixel 6 secara rasmi di Malaysia lengkap dengan pusat servis di seluruh negara.

Seterusnya pula ialah harga jualan. Google mengatakan kali ini kedua-dua Pixel akan dipasarkan sebagai peranti premium dengan harga jualan mencecah $1000. Maaf saya katakan kalau di Asia sekiranya anda adalah golongan T20, 7 daripada 10 telefon pintar yang akan dibeli adalah iPhone. Selepas 14 tahun dilancarkan iPhone masih lagi di kemuncak peranti yang menunjukkan status kekayaan seseorang.

Pada tahun 2019, Ketua Pegawai Kewangan Google –  Ruth Porat berkata jualan Pixel adalah tidak memberangsangkan kerana harganya terlalu mahal. Dengan ekonomi dunia masih lagi teruk akibat wabak berapa ramai yang ingin membelanjakan $1000 untuk sebuah telefon? Numbers don’t lie dan ini adalah sebab utama Xiaomi kini nombor 2 di tahap global dan nombor 1 di Eropah. Tidak masuk akal sungguh untuk Google melakukan penjenamaan semula Pixe sebagai peranti Premium pasca wabak.

Sebagai pengguna Galaxy S21 Ultra dan iPhone 12 Pro Max saya telah melakukan sendiri ujikaji pergi ke butik mewah. Layanan yang lebih senonoh akan dapat dinikmati apabila iPhone model terkini di dalam tangan berbanding peranti Android terkini yang harganya adalah sama. Bak kata orang putih these are just the facts and that’s the way it is. Jika Google ingin bertarung dengan Apple di Asia dalam pasaran peranti mercu mewah mereka akan kalah.

Pixel 4A dan 5A membuktikan ada pasaran untuk peranti Pixel mampu milik dengan ciri tambahan yang baik. Mengapa tiba-tiba ingin berubah haluan ke pasaran mewah yang sejak dahulu lagi Google tidak mampu memberikan saingan?

Kemudian kita mempunyai isu peranti Pixel luar pasaran Amerika Syarikat yang tidak menyokong kesemua ciri yang membuatkannya unik. Sistem gestur Soli pada Pixel 4 misalnya boleh digunakan di enam negara sahaja seperti Singapura. Apabila merentasi Tambak Johor ia terus tidak berfungsi. Begitu juga dengan ciri kecerdasan buatan Google Duplex yang boleh menyaring panggilan spam dan melakukan panggilan telefon bagi menempah restoran bagi pihak pengguna hanya boleh digunakan di Amerika Syarikat dan New Zealand.

Google ada menjanjikan Duplex akan diberikan kepada semua peranti Android pada tahun 2019. Ketika Google I/O 2021, saya sempat bertanyakan tentang pelancaran Duplex di luar Amerika Syarikat dan wakil Google masih belum mampu memberikan jawapan sama ada ia akan berlaku dalam masa terdekat.

Jika anda membeli iPhone dan Galaxy hari ini, tiada ada satu ciri pada peranti yang tiba-tiba tidak boleh digunakan apabila terbang ke luar negara. Mengapa perlu membayar harga yang sama untuk Pixel sekiranya ciri yang diterima tidak setara?

Google Tensor

Akhir sekali ialah cip Google Tensor yang dilihat sebagai cara Google untuk menghasilkan cip Apple Siri A mereka sendiri. Dengan cip buatan sendiri pengoptimasian dapat dilakukan dengan lebih baik, sokongan lebih lama (tidak terhad 3 tahun pada cip Qualcomm) dan direka mengikut spesifikasi yang Google mahukan. Di atas kertas ini adalah keputusan yang bijak.

Tetapi realitinya cip generasi pertama jarang sekali berfungsi dengan baik. Apple berjinak-jinak dengan A 9X, A 10X dan A 11X sebelum melompat ke Apple M1 yang menjadi hala tuju baharu komputer MacBook. Google tidak melakukan sebarang eksperimentasi sebelum melompat ke Tensor. Adakah ia cukup berkuasa untuk menentang Snapdragon? Seperti yang dapat dilihat berlaku pada Samsung, peranti dengan cip Exynos dipandang sebagai kelas kedua walaupun perbezaan prestasi antara ia dan Snapdragon tidaklah ketara mana.

Adalah peminat Pixel yang 90% melihat diri mereka sebagai tech geek tegar boleh menerima prestasi Tensor yang tidak sebaik Snapdragon? Sekiranya ia memintas Snapdragon 888+ kelak sekalipun, bagaimana pula dengan sokongan aplikasi terutamanya permua? Adakah situasi Pokemon Go! tidak boleh digunakan pada peranti Intel Atom akan berulang? Agak unlikely kerana Google pastinya telah bekerjasama dengan pembangun aplikasi tetapi kebarangkalian ia mungkin berlalu masih wujud kerana Tensor ialah cip generasi pertama.

Sebagai kesimpulan saya merasakan Google akhirnya ingin memasarkan Pixel sebagai pesaing sebenar kepada iPhone dan Galaxy secara serius mungkin sudah terlambat. Selepas lima tahun Pixel masih belum berjaya menjadi antara model telefon pintar Android yang paling laku di pasaran walaupun menerima pujian golongan geek tegar.

Setakat ini tidak ada sebarang petanda Google mempunyai kemampuan untuk menjadikan Pixel peranti mercu mewah yang akan menjadi kegilaan ramai. Microsoft pernah mencubanya tetapi hanya kerugian berbilion Dollar. OnePlus mencubanya tetapi dikecam peminat tegar asal. LG mencubanya tetapi kini tidak lagi wujud. Huawei mencubanya tetapi dicantas di lutut oleh sekatan ekonomi. Saya menanti pelancaran Pixel 6 dan Pixel 6 Pro pada penghujung September untuk dibuktikan salah. Jika saya salah semua orang untung. Kalau saya betul ingatlah artikel ini telah meramalnya lebih awal.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami