Huawei dan GAC Motors minggu lalu menandatangani perjanjian untuk membina SUV pintar mewah berkuasa elektrik sepenuhnya menjelang 2023. Menerusi perjanjian ini, SUV yang menggunakan platform GEP.30 oleh GAC dan sistem Huawei’s CCA (Computing and Communication Architecture) turut akan hadir dengan kemampuan swapandu Tahap 4.
Secara keseluruhan, kedua-dua syarikat merancang membina lapan model SUV pintar yang menggabungkan kepakaran automotif GAC dengan kepakaran teknologi pintar dan selular Huawei. Perjanjian baharu ini meneruskan usahasama antara kedua-dua syarikat yang telah dilakukan sejak 2017.
Sejak setahun yang lalu, Huawei mula memindahkan tumpuan mereka dari penghasilan peranti mudah alih ke penghasilan kenderaan elektrik pintar. Pada April lalu, SERES SF5 dilancarkan dengan teknologi Huawei dan dijual menerusi portal mereka sendiri buat pertama kali. Mereka turut dilaporkan ingin mengambil alih syarikat Chongqing Sokon untuk menghasilkan kenderaan berjenama sendiri.
Dengan kerjasama GAC, tidak diketahui sama ada mereka masih ingin melancarkan kenderaan jenama sendiri atau menimba pengalaman terlebih dahulu dari syarikat automotif sebelum bergerak kendiri.