Samsung telah mengesahkan bahawa acara Galaxy Unpacked yang seterusnya bakal berlangsung pada 11 Ogos 2021. Samsung Galaxy Watch4 adalah antara produk yang dijangka diumumkan pada acara berkenaan. Pelbagai informasi mengenainya telah didengari dalam masa terdekat ini. Ini termasuklah – bermula daripada rekaan fizikal, harga jualan dan paling terkini, spesifikasi penuh pula tertiris menerusi laporan terkini oleh WinFuture.

Jam tangan pintar baharu keluaran Samsung dikhabarkan hadir dalam dua model yang berbeza – iaitu Samsung Galaxy Watch4 dan Samsung Galaxy Watch4 Classic. Melaluinya juga, Samsung Galaxy Watch 4 akan didatangkan dalam saiz 40mm dan 44mm, manakala model Klasik pula boleh didapati dalam saiz 42mm dan 46mm. Secara teknikalnya, kedua-dua model tidak menunjukkan perbezaan yang ketara – kecuali sokongan bezel berputar yang disertakan secara ekslusif untuk Samsung Galaxy Watch4 Classic. Begitu juga dengan saiz skrin dan kapasiti bateri yang digunakan.

Model lebih besar dilihat menggunakan paparan berukuran 1.36-inci, Sementara itu, model yang lebih kecil model dilengkapi skrin 1.19-inci. Kedua-duanya akan menampilkan skrin sejenis Super AMOLED dengan resolusi 450 x 450 piksel dan Gorilla Glass DX pula sebagai pelindung utama. Seperkara lagi, perbezaan seterusnya adalah bateri – di mana, model yang besar lengkap dengan bateri 316mAh, manakala bateri 274mAh pula disertakan pada model lebih kecil.
Butiran lain menunjukkan, kedua-duanya juga akan menggunakan cip Exynos W920, memori 1.5GB RAM dan storan dalaman 16GB. Di samping itu, jam tangan berkenaan juga lengkap dengan sokongan Bluetooth 5.0, NFC, GPS, Glonass, Beidou, Galileo, pilihan LTE 4G, penarafan IP68 dan lain-lain.

Tidak lengkap rasanya jika sebuah jam tangan pintar tanpa sensor untuk pemantauan kesihatan. Oleh itu, siri Samsung Galaxy Watch4 juga akan mempunyai beberapa sensor terbina untuk pemantauan kesihatan termasuk – SpO2 untuk pengesanan ketepuan oksigen dalam darah, kadar denyutan jantung, pengesan pola tidur dan banyak lagi.
Benar atau tidak informasi yang tertiris ini, segalanya bakal terjawab sewaktu pelancaran rasmi kelak. Sama-sama kita nantikan dan kami di Amanz akan mengemaskini informasi mengenainya selepas ia dilancarkan secara rasmi kelak – termasuklah harga jualan rasmi.
Sumber : WINFUTURE