Cari @ Amanz

Logitech, syarikat pembuat perkakasan dan aksesori komputer baru-baru ini dilihat memperkenalkan sebuah lagi model fon telinga yang dinamakan Logitech Zone True Wireless, iaitu fon telinga yang dibangunkan untuk tujuan produktiviti, dan hadir dengan pengesahan daripada penyelia perkhidmatan telesidang paling popular, termasuklah Zoom, Google Meet dan Microsoft Team.

Walaupun ia dibangunkan untuk tujuan produktiviti, Logitech menggunakan rekaan yang lebih anggun dan padat untuk memastikan bahawa ianya tidak terlalu menonjol apabila digunakan untuk tujuan telesidang. Dari segi fungsi, pengguna boleh menggunakan fungsi Bluetooth ataupun penyesuai USB untuk menyambungkan fon telinga ini ke peranti pintar ataupun komputer riba dan desktop tanpa masalah.

Fon telinga Zone True Wireless ini juga hadir dengan fungsi pembatalan hingar aktif pada bahagian pembesar suara dan juga mikrofon untuk pengalaman telesidang yang terbaik. Logitech turut mengatakan bahawa fon telinga mereka mempunyai jangka hayat bateri selama tujuh jam untuk tujuan pendengaran muzik, dan boleh bertahan selama sekitar enam jam untuk tujuan telesidang dengan fungsi pembatalan hingar diaktifkan.

Menurut Logitech, fon telinga Zone True Wireless ini akan tiba secara global dalam masa terdekat ini pada harga $299 (~RM1240) dengan pilihan warna Rose dan Grafite.

Sumber: CNet

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd