Carian
Magic Keyboard Dengan Touch ID, Magic Trackpad, dan Magic Mouse Baharu Kini Boleh Dibeli Di Malaysia
August 3, 2021 Effi Saharudin

Semasa iMac M1 dilancarkan April lalu, beberapa aksesori baharu dalam bentuk papan kekunci, tetikus dan pad sesentuh turut dilancarkan untuk menyokong desktop ini. Tetapi ia tidak boleh dibeli secara berasingan. Hari ini Magic Keyboard with Touch ID and Numeric Keypad, Magic Keyboard with Touch ID, Magic Keyboard, Magic Trackpad, dan Magic Mouse akhirnya boleh dibeli secara berasingan.

Harga jualan untuk Magic Keyboard with Touch ID and Numeric Keypad ialah RM659, Magic Keyboard with Touch ID ialah RM549, Magic Keyboard ialah RM379, Magic Trackpad ialah RM489 dan Magic Mouse pula ialah RM319.

Kesemua aksesori ini hanya ditawarkan dalam warna putih sahaja. Jadi bagi mereka yang inginkan warna yang sama dengan iMac M1 yang berwarna warni, Apple masih belum bersedia menawarkannya kepada pengguna. Harus diingatkan untuk menggunakan ciri Touch ID pada Magic Keyboard ini, komputer dengan cip M1 adalah diperlukan.

Komen