Carian
Samsung Smart Monitor M7 43″ dan M5 24″ Kini Di Malaysia Pada Harga Bermula RM1088
August 4, 2021 Effi Saharudin

Samsung Smart Monitor dilancarkan tahun lalu sebagai monitor komputer yang turut boleh berfungsi sebagai sebuah televisyen pintar dengan sistem operasi Tizen. Pengguna boleh memasang aplikasi untuk menstrim pelbagai kandungan tanpa perlu bergantung kepada sebarang input. Kini Samsung Smart Monitor M7 43″, Samsung Smart Monitor M5 24″ dan Samsung Smart Monitor M5 27″ warna pula telah ditawarkan di Malaysia.

Kesemua model menyokong paparan HDR10 untuk menonton kandungan di Netflix, Amazon dan YouTube. Selain itu pada model M7, alat kawalan jauh yang disertakan turut hadir dengan panel solar yang membekalkan kuasa serta diperbuat daripada plastik yang dikitar semula. Menerusi alat kawalan jauh ini, pengguna boleh menyeru pembantu maya Bixby, Alexa dan Assistant.

Terdapat sokongan sambungan secara HDMI dan USB-C. Kerana ia monitor Samsung, ia turut boleh digunakan untuk paparan Samsung DeX apabila disambungkan kepada telefon pintar Galaxy dan juga ciri PC on Screen yang membolehkan kandungan Windows 10 distrim terus kepada Smart Monitor secara nirwayar.

Di Malaysia Samsung Smart Monitor M7 43″ dijual pada harga RM 2888, Samsung Smart Monitor M5 24″ pada harga RM 1088, dan Samsung Smart Monitor M5 27″ warna putih pula pada harga RM1488 sebuah.

Komen