Vivo sudah lama tidak hadir dengan peranti mercu mereka dalam siri NEX dan memfokuskan kepada siri X mereka untuk fotografi. Sejak mereka memperkenalkan Origin OS, banyak perubahan telah berlaku. Mereka juga tidak banyak melancarkan peranti sepertimana Xiaomi, Realme dan Oppo.
Terkini, mereka dilihat akan hadir dengan siri baharu yang dinamakan Zen dan paten peranti pertama dalam siri ini memperlihatkan rekaan seakan sebuah iPod.

Peranti Zen ini di hadapan memperlihatkan skrin pada separuh bahagian peranti di atas dan di bawahnya ada butang kawalan seakan clickwheel pada iPod. Terdapat empat butang disertakan untuk tujuan kawalan iaitu atas, bawah, kiri dan kanan. Menurut laman CNIPA, peranti ini adalah sebuah telefon pintar kelas pertengahan dan bukannya pemain media.
Apa yang aneh adalah, clickwheel adalah satu-satunya butang kawalan yang kelihatan dan tiada butang lain selain daripada di sisi yang kelihatan seakan butang kuasa atau mungkin pengimbas cap jari. Dalam senarai paten, port pengecasan juga tidak disediakan. Panel belakang pula memperlihatkan penggunaan rekaan dwi-tona dengan satu lensa kamera.

Paten kedua pula memperlihatkan iterasi dengan skrin penuh bersama skrin berlubang untuk kamera swafoto dan menurut sumber ia mempunyai port seperti biasa. Apakah peranti misteri Vivo Zen ini masih kekal misteri sehinggalah ia diumumkan secara rasmi kelak. Tetapi paten tidak semestinya menjadi realiti, ia mungkin boleh terkubur dalam arkib bersama-sama paten lain yang berada di luar imaginasi.