Xiaomi ialah syarikat teknologi China yang cukup terkenal untuk peranti-peranti dan perkakasan elektronik mereka, dan terkini, telah memperkenalkan dua model komputer riba dibawah jenama Redmi, iaitu RedmiBook 15 Pro dan RedmiBook e-Learning Education untuk pasaran India.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2021/08/RedmiBook-15-Pro-1-950x596.jpg)
Bermula dengan RedmiBook 15 Pro, ia adalah komputer riba dengan paparan bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD. Dari segi rekaan, ia hadir dengan rangka luaran polikarbonat dengan ketebalan 19.9mm dengan berat 1.8kg.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2021/08/RedmiBook-15-Pro-Specs-950x454.jpg)
Ia dikuasakan oleh CPU Intel Core i5-11300H, memori DDR4 sebanyak 8GB dan juga storan dalaman sebesar 512GB. Dari segi palam, ia dilengkapi dua palam USB Type-A 3.2 Gen 1, satu palam USB 2.0, satu palam HDMI satu palam Ethernet dan satu palam audio 3.5mm. Xiaomi turut mengatakan bahawa komputer riba ini dilengkapi dengan bateri 46WHr yang menjanjikan masa penggunaan 10 jam dengan satu pengecasan penuh.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2021/08/RedmiBook-15-Pro-Specs-2-950x422.jpg)
Ciri-ciri lain yang ditawarkan pada komputer riba ini termasuklah sokongan WiFi 5 dan Mi SmartShare yang boleh digunakan untuk menyambungkan peranti Xiaomi anda kepada komputer riba ini.
Komputer riba kedua ialah RedmiBook 15 e-Learning Education yang dibangunkan khusus untuk tujuan pembelajaran anak-anak. Komputer riba RedmiBook e-Learning Education ini hadir dengan saiz paparan dan resolusi yang sama dengan model RedmiBook 15 Pro, tetapi dikuasakan oleh CPU Intel Core i3-1115G4 dengan memori DDR4 sebanyak 8GB dan juga pilihan storan dalaman 256GB ataupun 512GB.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2021/08/RedmiBook-15-e-Learning-Educaton-950x604.jpg)
Selain daripada itu, konfigurasi palam dan ciri-ciri yang terbina pada RedmiBook 15 e-Learning Education ini adalah sama seperti model RedmiBook 15 Pro.
Kedua-dua model komputer riba ini akan ditawarkan di pasaran India terlebih dahulu bermula 6 Ogos 2021 kelak pada harga-harga berikut di laman web mi.com India:
- RedmiBook 15 Pro – INR 49,999 (~RM2850)
- RedmiBook e-Learning Educatino (Intel Core i3, 256GB) – INR 41,999 (~RM2394)
- RedmiBook e-Learning Educatino (Intel Core i3, 512GB) – INR 44,999 (~RM2570)
Setakat ini ia tidak diketahui jika Xiaomi akan memperkenalkan komputer-komputer riba ini di pasaran-pasaran lain.